oleh Nur Fatin Syakirah Suhaizal

TANJONG MALIM, 21 April 2026— Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menganjurkan Program Pemerkasaan Kepimpinan Badan Pelajar UPSI 2026 dari 19 hingga 21 April lepas bagi memperkukuh pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kompetensi mahasiswa.

Program itu menjadi platform utama menghimpunkan barisan kepimpinan pelajar daripada pelbagai persatuan dan kelab berdaftar di universiti berkenaan untuk mempersiapkan mereka sebagai pemimpin kampus yang berwibawa, progresif dan berintegriti.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Norkhalid Salimin berkata kepimpinan mahasiswa merupakan pelaburan jangka panjang dalam membentuk nilai, kemahiran dan jati diri pemimpin masa hadapan.

Beliau berkata program itu merangkumi pelbagai aspek penting termasuk pembinaan pasukan, tadbir urus organisasi, pengurusan kewangan dan komunikasi rasmi bagi meningkatkan kecekapan pemimpin pelajar.

“Mahasiswa perlu menjadi pemimpin yang berintegriti, berimpak serta mampu bekerjasama dan menterjemahkan ilmu kepada tindakan yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Sepanjang penganjuran, MPP UPSI berperanan sepenuhnya dalam mengurus dan menyelaras perjalanan program, sekali gus mencerminkan keupayaan mahasiswa mengendalikan program berskala besar secara profesional dan berkesan.

Program itu turut menampilkan slot khas bersama Yayasan Perkasa Siswa yang memberi pendedahan berkaitan pembangunan potensi mahasiswa, pengukuhan jati diri serta kepimpinan masa hadapan.

Selain itu, program berkenaan turut menjadi medium mengeratkan hubungan antara kepimpinan pelajar dengan pihak pengurusan universiti di samping membuka ruang perkongsian idea, pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan organisasi.

Penganjuran program itu mencerminkan komitmen UPSI dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran insaniah seperti komunikasi, kerja berpasukan, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah.

Secara keseluruhannya, program tersebut berjaya mencapai matlamat sebagai platform pembangunan kepimpinan mahasiswa yang berimpak tinggi serta berupaya melahirkan pemimpin berkualiti untuk memacu organisasi, komuniti dan negara pada masa hadapan.