Oleh: Siti Nurazmira Abdullah
KUALA LUMPUR, 18 April – Sebuah program berteraskan seni dan budaya telah berjaya dianjurkan di Rumah PENA, Kuala Lumpur dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk pelajar, pensyarah, jemputan luar serta pelajar dari Indonesia.
Program ini bertujuan untuk memperkasa penghayatan seni persembahan seperti puisi, sajak, syair dan nyanyian dalam kalangan peserta.
Program ini berlangsung dengan lancar hasil perancangan rapi oleh pihak penganjur serta kerjasama erat dalam kalangan ahli jawatankuasa Kolej Za’ba.
Sebelum program bermula, pelbagai persiapan telah dilakukan termasuk penyediaan lokasi, penyusunan kerusi dan meja serta pemasangan sistem audio. Sesi raptai turut dilaksanakan bagi memastikan kelancaran penggunaan mikrofon dan perjalanan keseluruhan majlis.


Pengisian program dimulakan dengan ucapan oleh Dr. Muhammad Saleh Rahmat serta beberapa jemputan lain sebagai pembuka rasmi acara.
Program kemudian diteruskan dengan pelbagai persembahan yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai institusi dan individu jemputan, seiring dengan jamuan makan sempena bulan Syawal yang turut memeriahkan suasana majlis.
Antara persembahan yang dipersembahkan termasuk Encik Haikal dari Universiti Putra Malaysia (UPM), diikuti dengan Datin Barupawati, persembahan nyanyian oleh Encik Samsudin, serta deklamasi puisi oleh Puan Amiza Abdul Aziz dan ramai lagi.
Program turut menampilkan persembahan daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Putra Malaysia (UPM), serta boria daripada Kumpulan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Pulau Pinang. Daripada program ini, penyertaan juga disertai oleh pelajar Universiti dari Indonesia.


Secara keseluruhannya, program ini berjaya menjadi platform dalam memperkukuh penghayatan seni dan budaya dalam kalangan peserta, di samping mengeratkan hubungan serta jaringan kerjasama antara institusi dan individu yang terlibat.
