Oleh Ajijulshah Saidin
“Masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang lembu menguak.” Peribahasa ini sering dijadikan pedoman dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu. Namun, sampai bilakah penyesuaian itu perlu dilakukan sehingga suara sendiri tidak lagi dikenali? Di manakah batas antara keupayaan menyesuaikan diri dan kecenderungan melupakan asal usul? Jangan sampai pepatah yang menjadi panduan akhirnya bertukar menjadi “kacang lupakan kulit”.
Di Malaysia, krisis identiti semakin ketara dalam kalangan pelajar universiti yang merantau ke negeri lain. Ramai mula menjauh daripada makanan tradisi, dialek tempatan dan amalan budaya yang dahulunya menjadi lambang kebanggaan komuniti. Sebaliknya, gaya hidup moden dan budaya arus perdana lebih mudah diterima kerana dianggap selari dengan citra semasa. Tidak kurang juga yang berasa kekok menggunakan loghat asal kerana bimbang dilabel tidak standard atau kurang berpendidikan.
Perubahan ini tidak terhad kepada bahasa dan pemakanan semata-mata, malah turut melibatkan nilai kesopanan serta adat yang dipupuk sejak kecil. Pendedahan kepada budaya bandar yang lebih terbuka dan bersifat individualistik menyebabkan nilai tradisional semakin terpinggir. Bahasa ibunda yang dahulunya dituturkan dengan fasih semakin digantikan oleh bahasa slanga atau bahasa Inggeris. Lebih membimbangkan, ada yang berasa malu untuk mengakui latar belakang budaya sendiri kerana khuatir dianggap ketinggalan zaman atau tidak relevan.
Krisis identiti dalam kalangan pelajar perantau bukan lagi isu terpencil. Perpindahan dari satu wilayah ke wilayah lain, sama ada dari Borneo ke Semenanjung atau dari pantai timur ke ibu kota, bukan sekadar melibatkan perubahan lokasi, tetapi juga pertembungan nilai, budaya dan cara hidup. Dalam usaha menyesuaikan diri, ada yang secara tidak sedar mengorbankan warisan budaya demi penerimaan sosial dalam kelompok baharu. Kajian melibatkan pelbagai universiti di Malaysia mendapati bahawa walaupun tahap perkembangan identiti pelajar berada pada tahap yang memuaskan, wujud indikasi kerentanan, yang mencadangkan bahawa pembentukan identiti pelajar universiti berpotensi terancam oleh tekanan persekitaran dan faktor psikososial.
Hakikatnya, identiti budaya merupakan asas pembentukan jati diri. Apabila budaya asal dipinggirkan, individu bukan sahaja kehilangan sebahagian daripada dirinya, malah hubungan sosial dalam komuniti turut menjadi semakin longgar. Kepelbagaian budaya yang selama ini menjadi kekuatan dan keunikan Malaysia sebagai negara majmuk juga terancam. Jika fenomena ini dibiarkan berterusan, risiko melahirkan generasi yang rapuh jati diri, longgar nilai kemasyarakatan dan hilang arah dalam mendepani masa depan bukanlah sesuatu yang mustahil.

Sehubungan itu, peranan semua pihak amat penting dalam menyemai semula rasa bangga terhadap budaya sendiri. Institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat perlu menyediakan ruang serta sokongan agar pelajar perantau dapat menyesuaikan diri tanpa perlu mengorbankan identiti. Penyesuaian tidak seharusnya bererti penghapusan, dan keterbukaan tidak semestinya menuntut pengabaian warisan.
Sudah tiba masanya kesedaran ini diperkukuh. Mempertahankan identiti budaya bukan sekadar soal nostalgia, tetapi merupakan asas kepada kelangsungan bangsa dan kemajuan negara. Hanya melalui usaha berterusan, generasi yang lahir bukan sahaja berilmu, malah berakar kukuh pada nilai dan budaya dalam proses saling melengkapi antara kemajuan dan akar tradisi.
