Oleh: Muhammad Isyraf Firdaus Hassim

Tanjong Malim, 25 April 2026 – Satu program berimpak tinggi telah dilaksanakan di Kafeteria Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai sebahagian daripada projek SULAM bagi subjek DSC2013, Cybersecurity Awareness.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai ancaman phishing dan pelbagai bentuk penipuan dalam talian yang semakin berleluasa dalam era digital masa kini.

Program ini telah disertai oleh seramai lima orang pelaksana daripada kelas C yang diketuai oleh Muhammad Isyraf Firdaus Bin Hassim.

Sepanjang program berlangsung, aktiviti telah dijalankan di beberapa lokasi strategik sekitar kampus iaitu di kafe KHAR, KUO dan KZ UPSI bagi memastikan capaian maklumat yang lebih meluas kepada para pelajar.

Antara pengisian utama program ialah sesi penerangan berkaitan phishing dan penipuan dalam talian. Dalam sesi ini, para pelajar didedahkan dengan definisi phishing, contoh-contoh kes sebenar, kaedah penipuan yang sering digunakan oleh penjenayah siber, serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil untuk melindungi diri. Penerangan ini amat penting kerana ramai pelajar merupakan pengguna aktif platform digital dan berisiko menjadi mangsa tanpa disedari.

Selain itu, pasukan pelaksana turut mengedarkan brosur dalam bentuk digital kepada pelajar. Brosur ini mengandungi maklumat ringkas tetapi padat berkaitan tanda-tanda phishing, tips keselamatan dalam talian, serta panduan mengenal pasti mesej atau pautan yang mencurigakan.

Pendekatan digital ini dipilih bagi memudahkan akses dan memastikan maklumat dapat disimpan serta dirujuk semula oleh pelajar pada bila-bila masa.