Oleh : Nurin Alifah Ilyana & Dr Ahmad Saufiyyan Abu Hasan
TANJUNG MALIM, 11 Mei – Festival Perpaduan Antarabangsa KAHS atau KAHS International Unity Festival (KIUF 26’) yang berlangsung selama empat hari berjaya menarik perhatian warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi pelbagai aktiviti menarik dan berunsurkan perpaduan.
Festival yang diadakan bermula 30 April hingga 3 Mei di Pentas Utama Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki, Kampus Sultan Azlan Shah itu dianjurkan bagi mengeratkan hubungan antara mahasiswa tempatan dan antarabangsa di samping memupuk semangat perpaduan dalam kalangan warga kampus.
Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang festival berlangsung antaranya kaunter pemeriksaan kesihatan, gerai jualan, ceramah agama, sukaneka, pameran, persembahan artis, cabutan bertuah dan zoo mini.
Menurut salah seorang ahli jawatankuasa program, Nur Syafiqah Ahmad, festival tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelajar UPSI serta masyarakat sekitar. “Program ini bukan sahaja menjadi platform hiburan kepada mahasiswa, malah mampu mengeratkan hubungan antara pelajar daripada pelbagai latar belakang budaya dan negara,” katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung festival, Muhammad Amirul Hakim, berkata penganjuran KIUF 26’ memberi pengalaman yang menarik kerana terdapat pelbagai aktiviti yang sesuai disertai oleh semua lapisan pelajar. “Saya sangat seronok datang ke festival ini kerana suasananya meriah dan banyak aktiviti yang menarik seperti persembahan artis dan sukaneka,” ujarnya.
Festival tersebut turut dilihat berjaya memupuk nilai kerjasama dan semangat komuniti dalam kalangan mahasiswa selaras dengan usaha UPSI melahirkan pelajar yang aktif serta berketerampilan dalam pelbagai bidang.

