Oleh: Yusrina Aisyah Mohd Yusri
TANJONG MALIM, 11 Mei 2026 – Suasana malam Ahad di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menjadi lebih meriah dan tenang apabila sebuah program berkonsepkan hiburan Islamik dan santai berjaya menarik kehadiran ramai pelajar serta staf universiti sebagai pembuka bagi minggu kelapan sesi pembelajaran.
Walaupun ditemani hujan renyai yang menjadikan suasana malam lebih sejuk dan nyaman, para pengunjung tetap hadir memeriahkan program yang dipenuhi dengan pengisian bermanfaat dan hiburan santai. Keadaan tersebut secara tidak langsung menambahkan lagi ketenangan sepanjang program berlangsung.
Program tersebut dimeriahkan dengan persembahan qasidah dan selawat yang berjaya mencipta suasana harmoni dalam kalangan pengunjung. Selain itu, slot perkongsian santai bersama Iddin Ramli dan Aisyah Hijanah turut menjadi tarikan utama apabila mereka berkongsi pelbagai nasihat, pengalaman dan ilmu yang dekat dengan kehidupan pelajar.
Menurut salah seorang pengunjung, program seperti ini memberi peluang kepada warga kampus untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan sambil mendapatkan pengisian yang bermanfaat.
“Program ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut memberi banyak ilmu baharu kepada pelajar. Perkongsian yang disampaikan juga sangat santai dan mudah difahami,” katanya.
Selain pengisian kerohanian dan perkongsian santai, kawasan program turut dipenuhi dengan pelbagai gerai makanan dan minuman yang menawarkan menu menarik pada harga mesra pelajar. Kehadiran gerai-gerai tersebut menambahkan lagi kemeriahan suasana dan menjadi tempat pelajar berkumpul bersama rakan-rakan.
Daripada pemerhatian pengunjung, sambutan yang diterima sangat menggalakkan apabila ramai pelajar hadir untuk menikmati persembahan, mendengar perkongsian ilmu serta meluangkan masa bersama warga kampus lain selepas tamat aktiviti pembelajaran harian.
Program seperti ini dilihat mampu memberi kesan positif kepada pelajar kerana bukan sahaja menjadi medium hiburan sihat, malah membantu menambahkan ilmu pengetahuan, memberi motivasi dan mewujudkan suasana kampus yang lebih ceria dan harmoni.
Rata-rata pengunjung berharap agar lebih banyak program berbentuk santai dan kerohanian seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana berjaya memberi pengalaman yang menyeronokkan dan bermanfaat kepada warga UPSI.
