Oleh: Aida Ismail & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
UNITY UPSI akan mengadakan program agihan aiskrim percuma kepada mahasiswa dan mahasiswi UPSI pada 14 Mei 2026, bermula sekitar jam 4 petang di beberapa kafe sekitar kampus baharu UPSI seperti KUO, KHAS, KAB, KHAR dan KZ. Program yang dijalankan setiap Khamis ini bertujuan untuk memperkenalkan UNITY UPSI kepada pelajar serta mengeratkan hubungan antara organisasi dan warga kampus melalui aktiviti santai bersama pelajar.
Menurut wakil Setiausaha UNITY UPSI sesi 2026/2027, Nurul Aida, program ini diharapkan dapat membantu meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kewujudan dan peranan UNITY UPSI di universiti.
“Apa yang kami harapkan melalui program ini adalah untuk memperkenalkan UNITY UPSI kepada lebih ramai pelajar. Melalui poster, baju UNITY dan aktiviti yang dijalankan semasa agihan, pelajar dapat mengenali organisasi ini dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemu bual.
Beliau berkata, agihan aiskrim tersebut akan diteruskan sehingga semua aiskrim habis diagihkan kepada pelajar yang berada di lokasi pada hari tersebut.
Tambahnya lagi, program berkenaan mungkin akan dijalankan secara berkala pada setiap hari Khamis atau sekurang-kurangnya dua kali seminggu bergantung kepada keadaan semasa.
Sementara itu, jurucakap kedua UNITY UPSI, Nur Zulaikha Amira, berkata UNITY UPSI merupakan sebuah organisasi yang berperanan menyuarakan pendapat serta kebajikan mahasiswa dan mahasiswi UPSI.
Beliau turut memaklumkan bahawa program agihan aiskrim percuma ini merupakan antara perancangan awal organisasi tersebut bagi semester ini.
“Insya-Allah kami akan mengagihkan aiskrim percuma kepada pelajar UPSI dengan pelbagai pilihan perisa. Jadi pelajar boleh terus mengikuti perkembangan UNITY UPSI untuk mengetahui maklumat lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar lebih ramai pelajar cakna dan mengenali organisasi UNITY UPSI pada masa akan datang.
