Oleh: Nurhaslina binti Amir

Tanjung Malim sering digambarkan sebagai sebuah bandar ilmu yang ikonik, tenang di kaki  Banjaran Titiwangsa yang menghijau. Namun, di sebalik ketenangan itu, tersimpan cabaran besar  bagi ribuan mahasiswa, khususnya warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dalam  mengimbangi tuntutan akademik dengan realiti ekonomi semasa. Walaupun sering dikategorikan  sebagai kawasan luar bandar, kos sara hidup di sini tidaklah serendah yang disangka.  Kedudukannya yang strategik di sempadan Selangor menyebabkan harga barangan dan  perkhidmatan kadangkala menyamai kadar di bandar besar seperti Shah Alam atau Petaling Jaya.  Faktor ini menuntut mahasiswa memiliki strategi survival yang lebih sofistikated dan mampan  demi kelangsungan hidup sehingga hari konvokesyen tiba.

Salah satu cabaran utama yang paling menghimpit ialah dilema geografi dan kos logistik  yang sering tidak menentu. Permintaan tinggi terhadap kediaman di sekitar Proton City dan pekan  lama menyebabkan kadar sewa rumah di taman-man perumahan boleh mencecah angka yang agak  tinggi bagi bajet seorang pelajar yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Fenomena “gentrifikasi  pelajar” ini memaksa ramai mahasiswa untuk tinggal jauh dari kampus utama, yang kemudiannya  mewujudkan masalah baru iaitu kos pengangkutan. Disebabkan ketiadaan sistem pengangkutan  awam yang menyeluruh dan kerap ke kawasan ceruk perumahan, mahasiswa terpaksa bergantung  sepenuhnya kepada aplikasi e-hailing atau memiliki motosikal sendiri. Kos penyelenggaraan  kenderaan, cukai jalan, dan harga petrol merupakan “perbelanjaan halimunan” yang jika tidak

dipantau dengan buku log perbelanjaan, mampu menjejaskan kestabilan kewangan bulanan  mereka secara drastik.

Selain itu, dari sudut pemakanan, mahasiswa yang berjaya bertahan biasanya  mengamalkan kombinasi antara kemahiran memasak dan seni mencari “lubuk” makanan murah.  Membeli barangan dapur secara borong di pasar tani atau pasar raya berdekatan untuk dimasak  secara berjemaah bersama rakan serumah terbukti jauh lebih menjimatkan berbanding makan di  luar setiap hari. Budaya “potluck” atau berkongsi kos bahan mentah bukan sahaja mengenyangkan  perut, malah mengeratkan ukhuwah sesama penghuni rumah sewa. Walau bagaimanapun, bagi  mereka yang mempunyai jadual kuliah yang padat dan terpaksa berada di kampus dari pagi hingga  lewat petang, mengenalpasti kafe yang menawarkan set nasi bajet atau “Menu Rahmah” di sekitar  kawasan strategik menjadi satu kemahiran wajib. Disiplin dalam memilih tempat makan dan  menahan diri daripada terjebak dengan trend kafe hipster yang tumbuh bak cendawan di Tanjung  Malim adalah kunci utama bagi memastikan wang saku tidak habis sebelum pertengahan bulan.

Seterusnya, pengurusan dana daripada pinjaman PTPTN, biasiswa, atau kiriman ibu bapa  memerlukan ketegasan yang tinggi melalui aplikasi teknik agihan kewangan yang sistematik.  Ramai mahasiswa kini mula sedar akan kepentingan literasi kewangan dengan mengamalkan  formula agihan tetap; contohnya 50 peratus untuk keperluan asas seperti sewa dan makan, 30  peratus untuk komitmen akademik termasuk pembelian buku rujukan, bahan fotostat dan data  internet, manakala 20 peratus selebihnya disimpan sebagai tabung kecemasan yang tidak boleh  disentuh. Penggunaan aplikasi pengurus kewangan di telefon pintar kini bukan lagi sekadar hobi,  tetapi keperluan untuk memantau aliran tunai secara “real-time”. Tanpa rekod yang jelas, wang  pinjaman yang diterima pada awal semester sering kali “lesap” begitu sahaja disebabkan oleh  fenomena pembelian impulsif di platform dalam talian yang menawarkan pelbagai promosi jualan  murah setiap bulan.

Namun begitu, bagi merapatkan jurang kewangan yang ada, Tanjung Malim turut menjadi  saksi kepada kepesatan ekonomi gig dan semangat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.  Tidak hanya berserah kepada bantuan kewangan sedia ada, ramai mahasiswa kreatif mula  menceburkan diri dalam perniagaan kecil-kecilan yang fleksibel. Ada yang menjual makanan  ringan di kolej kediaman, menjadi ejen dropship produk kecantikan, mahupun menawarkan  perkhidmatan teknikal seperti membaiki komputer, mencuci kasut, dan menyunting video tugasan.

Malah, tidak kurang juga yang mengambil peluang bekerja sambilan sebagai penghantar makanan  atau kru di kedai serbaneka pada hujung minggu. Inisiatif ini bukan sahaja berfungsi sebagai ‘talian  hayat’ kewangan, malah membentuk jati diri, kemahiran komunikasi, dan disiplin pengurusan  masa yang tinggi serta elemen yang sangat berharga sebelum mereka melangkah ke alam kerjaya  profesional yang penuh persaingan.”

Sebagai kesimpulan, kelangsungan hidup di Tanjung Malim adalah tentang ujian  kematangan dalam mengimbangi keinginan hati dan keperluan hidup. Survival ini bukan sekadar  tentang jumlah baki di dalam akaun bank, tetapi tentang sejauh mana seorang mahasiswa mampu  berdisiplin dan kreatif dalam menghadapi tekanan ekonomi di sebuah bandar ilmu. Mahasiswa  perlu cekal dalam membezakan antara keperluan akademik yang mendesak dengan kehendak gaya  hidup yang bersifat sementara demi mengejar status sosial. Dengan perancangan yang rapi,  pemanfaatan teknologi pengurusan wang, dan usaha tambahan melalui ekonomi gig, cabaran kewangan di bandar ini mampu ditangani dengan tenang. Biarlah mereka hidup bersederhana dan  berjimat cermat di kampus hari ini, asalkan hari esok dijanjikan dengan segulung ijazah, rekod  kewangan yang bersih, serta mentaliti yang sedia berdepan dengan dunia sebenar.