Oleh Muhammad Azim Syafiq

JEMPOL, 17 Mei 2026 – Sekretariat Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (SEMANIS) UPSI sidang 2025/2026 dengan kerjasama SMK Lui Barat telah berjaya menganjurkan Program “Sweet Escape: Break a Bit, Glow a Lot” yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Mei 2026 di SMK Lui Barat, Jempol.

Program pembangunan pelajar ini dianjurkan sebagai satu inisiatif bagi memberi ruang kepada para pelajar untuk berehat seketika daripada tekanan akademik, di samping menyediakan pendedahan awal mengenai peluang pendidikan tinggi serta hala tuju kerjaya selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti interaktif yang dikendalikan oleh mahasiswa SEMANIS UPSI selaku fasilitator. Antara pengisian yang dijalankan termasuk slot motivasi, aktiviti pembangunan diri, sesi perkongsian pengalaman kehidupan universiti serta perbincangan santai berkaitan dunia pendidikan tinggi. Pendekatan yang dibawa melalui program ini bukan sahaja berjaya menyuntik semangat dan keyakinan baharu dalam kalangan pelajar, malah membuka ruang kepada mereka untuk lebih mengenali potensi diri serta merancang masa depan dengan lebih jelas dan terarah.

Dalam masa yang sama, penglibatan mahasiswa SEMANIS UPSI dalam program ini turut menjadi platform pembangunan kemahiran insaniah khususnya dalam aspek kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan dan pengurusan program. Pengalaman turun padang bersama komuniti sekolah secara tidak langsung memperkukuhkan lagi hubungan antara mahasiswa dan masyarakat setempat. Diharapkan program seperti ini dapat terus memberi impak positif kepada para pelajar dalam membina keyakinan diri, memperluaskan perspektif mengenai pendidikan, serta menjadi pemangkin semangat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan demi masa depan yang lebih gemilang.