Pavilion MAPIM di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 telah menerima kunjungan istimewa daripada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, yang sudi meluangkan masa melawat reruai-reruai pameran yang menghimpunkan pelbagai penerbit dan institusi ilmu negara.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut berkesempatan mengunjungi reruai Penerbit UPSI serta menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkasa budaya ilmu, penyelidikan dan penerbitan akademik negara. Sebagai tanda penghargaan terhadap karya ilmiah tempatan, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi telah membeli dua buah buku terbitan Penerbit UPSI, iaitu Penulisan Proposal Penyelidikan Ilmiah dan Menulis Petikan dan Rujukan Gaya APA Edisi Kedua.


Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar menyifatkan kunjungan tersebut sebagai satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap peranan universiti dalam memacu agenda penyelidikan dan penerbitan ilmiah negara.
“Kesudian YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa mengunjungi reruai Penerbit UPSI dan memilih karya terbitan universiti ini mencerminkan sokongan berterusan kerajaan terhadap pembangunan budaya ilmu dan ekosistem penyelidikan negara. Pengiktirafan sebegini menjadi suntikan semangat kepada para penyelidik dan akademia untuk terus menghasilkan penemuan serta penerbitan yang berkualiti, relevan dan berimpak tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Penerbit UPSI, Prof. Madya Dr. Nordiana Hamzah berkata, sokongan yang ditunjukkan oleh kepimpinan negara terhadap penerbitan universiti membuktikan bahawa karya ilmiah tempatan terus mendapat tempat dan perhatian dalam kalangan pembuat dasar serta masyarakat.
“Kami amat berbesar hati dan berterima kasih atas kesudian YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengunjungi reruai Penerbit UPSI serta membeli buku-buku terbitan kami. Sokongan ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada usaha penerbit universiti, malah menggalakkan penghasilan lebih banyak karya ilmiah yang dapat menyumbang kepada pembangunan ilmu, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan negara dalam menyokong pembangunan ilmu pengetahuan dan penghasilan karya akademik berkualiti sebagai asas kepada kemajuan pendidikan tinggi serta pembangunan modal insan negara. Sokongan yang diberikan turut menjadi pemangkin semangat kepada para penulis, penyelidik dan penerbit untuk terus menghasilkan penerbitan ilmiah yang relevan, berimpak tinggi dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Penerbit UPSI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi melawat Pavilion MAPIM dan menyokong penerbitan ilmiah tempatan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026. Kunjungan ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap peranan penerbit universiti dalam memperkaya khazanah ilmu dan memperkukuh ekosistem perbukuan negara.

