oleh: Vidyadarshinee Ravindran & Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hassan
TANJONG MALIM, 16 Mei – Kelab Bahasa Jepun sidang 2025/2026 telah berjaya menganjurkan pertandingan nyanyian bahasa Jepun bertemakan “Sing Japan! 1.0” di Dewan Kuliah Pusat (DKP) 3 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan penyertaan seramai 12 orang peserta serta kehadiran kira-kira 70 orang penonton. Program yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat itu bertujuan untuk mengetengahkan minat pelajar terhadap bahasa serta budaya Jepun melalui medium muzik.
Majlis dimulakan dengan ketibaan tiga orang panel juri jemputan yang terdiri daripada seorang guru Bahasa Jepun, seorang pensyarah Kelab Bahasa Jepun dan juga Yang Di-Pertua Kelab Bahasa Jepun sendiri. Kehadiran para juri disambut dengan penuh penghormatan oleh ahli jawatankuasa program serta para peserta yang teruja untuk mempersembahkan bakat masing-masing.
Bagi menghargai penglibatan semua pihak, mata MyChamp turut disediakan dan diberikan kepada para peserta, penonton serta ahli jawatankuasa yang hadir. Inisiatif tersebut bukan sahaja memberi galakan kepada para pelajar untuk menyertai program anjuran universiti, malah turut meningkatkan semangat kerjasama warga kampus.
Program bermula secara rasmi dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu UPSI sebelum diteruskan dengan bacaan doa bagi memohon kelancaran sepanjang pertandingan berlangsung. Seusai acara pembukaan, sesi bergambar rasmi turut diadakan melibatkan ahli jawatankuasa bersama panel juri sebagai kenang-kenangan serta simbolik penghargaan atas kerjasama semua pihak dalam menjayakan program tersebut.
Pengacara majlis kemudiannya menyampaikan kata-kata aluan dan memperkenalkan perjalanan program kepada para hadirin. Suasana dewan menjadi semakin rancak apabila pertandingan nyanyian bahasa Jepun dimulakan tepat pada jam 2.55 petang. Setiap peserta tampil dengan gaya dan keunikan tersendiri, sekali gus memberikan persembahan yang berjaya memukau perhatian para penonton.
Antara lagu terkenal yang dipersembahkan ialah “Fuyu no Hanashi” daripada anime Given, “Niki” daripada siri kanak-kanak popular Doraemon, “Zankoku na Tenshi” atau “A Cruel Angel’s Thesis” daripada anime terkenal Neon Genesis Evangelion, “Homura” nyanyian penyanyi Jepun terkenal LiSA, lagu klasik Jepun “First Love” oleh Hikaru Utada serta “Lend Me Your Voice” daripada filem anime Belle. Selain itu, beberapa peserta turut memilih lagu-lagu Jepun moden dan balada emosi yang menyerlahkan kemampuan vokal masing-masing.
Sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton jelas menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap setiap persembahan. Walaupun ada peserta yang kelihatan gementar ketika berada di atas pentas, mereka tetap berjaya memberikan persembahan terbaik dengan penuh keyakinan dan semangat. Setiap peserta memperlihatkan usaha yang luar biasa dalam menghayati lirik, sebutan bahasa Jepun dan penyampaian emosi ketika menyanyi.
Kehebatan suara para peserta juga mendapat perhatian para juri dan penonton kerana peserta yang berjaya menyampaikan lagu dengan nada yang merdu dan penuh penghayatan sehingga mendapat sorakan kuat daripada hadirin. Semangat keberanian untuk tampil di hadapan khalayak ramai turut menjadi inspirasi kepada pelajar lain agar lebih yakin dalam mengetengahkan bakat masing-masing.
Menjelang persembahan peserta terakhir, program diteruskan dengan sesi ulasan daripada panel juri. Para juri memberikan pelbagai nasihat dan pandangan membina kepada semua peserta mengenai penghayatan lagu dan keyakinan di atas pentas. Mereka turut memuji keberanian dan kesungguhan para peserta yang sanggup mencabar diri untuk menyanyi dalam bahasa asing.
Majlis penutup kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada Pengarah Program yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Sing Japan! 1.0. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada para peserta, penonton dan ahli jawatankuasa atas kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung.
“Tanpa kamu semua, saya tak pasti jika program ini akan berlangsung atau tidak. Saya sangat berterima kasih kepada semua yang sudi menyertai untuk menjayakan program pertama saya,” katanya dalam ucapan penutup yang penuh emosi.
Acara kemudiannya diteruskan dengan pengumuman keputusan pemenang bermula daripada tempat kelima sehingga Johan. Para pemenang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM20 bagi tempat ketiga, RM30 untuk tempat kedua dan RM50 kepada pemenang johan. Selain itu, sijil penghargaan turut diberikan kepada para peserta sebagai tanda penghargaan atas penglibatan dan usaha mereka sepanjang pertandingan.
Sebagai tanda hormat dan penghargaan, ketiga-tiga panel juri turut menerima hamper khas daripada pihak penganjur sebelum program melabuhkan tirainya secara rasmi. Keseluruhan program berlangsung dengan lancar dan berjaya mencapai objektif untuk memupuk minat terhadap bahasa dan budaya Jepun dalam kalangan mahasiswa.
Penganjuran Sing Japan! 1.0 dilihat sebagai satu platform yang bukan sahaja mencungkil bakat nyanyian pelajar, malah mengeratkan hubungan antara ahli Kelab Bahasa Jepun serta warga universiti melalui minat yang sama terhadap muzik dan budaya Jepun. Dengan sambutan yang amat menggalakkan, program ini diharapkan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan skala yang lebih besar dan penyertaan yang lebih ramai.
