Oleh: Muhammad Nazrin Shah Bin Azizi

Tanjong Malim, 10 Mei 2026 – Tapak Pesta Kolej Aminuddin Baki (KAB) baru-baru ini dipenuhi dengan suasana harmoni dan penuh keberkatan menerusi penganjuran program Malam Muallim Berselawat. Program tersebut berjaya menghimpunkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang bukan sahaja berfokus kepada pendidikan namun juga praktik islamik dalam kalangan pelajar. Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pelajar serta memberi peluang kepada pempengaruh terkenal untuk berkongsi ilmu bersama-sama pelajar. Kehadiran penonton yang memberangsangkan jelas memperlihatkan sambutan positif warga UPSI terhadap program berkonsepkan keagamaan seperti ini.

Program diteruskan dengan alunan selawat yang dipersembahkan oleh kumpulan Hadrah Al-Basya’ir dan AURA yang berjaya menyentuh hati para hadirin menerusi persembahan penuh penghayatan dan keinsafan. Suasana di tapak program bertambah tenang serta syahdu apabila para penonton turut bersama-sama berselawat, sekali gus menjadikan malam tersebut bukan sahaja sebagai hiburan rohani, malah medium untuk mendekatkan diri kepada Rasulullah SAW. Persembahan itu turut membuka ruang kepada mahasiswa menghayati keindahan selawat dalam suasana yang santai, harmoni dan penuh makna.

Selain itu, program turut diserikan dengan sesi ceramah motivasi yang disampaikan oleh Muhammad Iddin Bin Ramli, seorang pempengaruh dan pendakwah bebas yang terkenal dengan perkongsian ilmu serta dakwah yang memberi inspirasi kepada masyarakat. Menerusi tajuk “Adab Pendidik Dalam Mendidik”, beliau menekankan kepentingan adab dan akhlak dalam dunia pendidikan sebagai asas utama dalam melahirkan generasi guru yang berilmu, beretika serta memiliki jiwa pendidik sejati. Perkongsian beliau turut memberi penekanan terhadap peranan guru sebagai pewaris ilmu yang bukan sahaja mendidik dari aspek akademik, malah membentuk sahsiah dan nilai murni dalam kalangan pelajar.

Dalam penyampaiannya, beliau banyak berkongsi mengenai kepentingan menjaga hubungan sesama manusia, memperbaiki diri serta mendidik hati agar sentiasa dekat dengan nilai-nilai kebaikan. Gaya penyampaian yang santai dan dekat dengan jiwa anak muda berjaya menarik perhatian penonton sepanjang sesi berlangsung.

Sebagai tanda penghargaan atas penglibatan dan kerjasama yang diberikan, sesi penyerahan sijil penghargaan turut diadakan kepada wakil ahli qasidah daripada kumpulan Hadrah Al-Basya’ir yang telah menjayakan program tersebut. Sesi tersebut menjadi simbol penghargaan pihak penganjur terhadap usaha dan kerjasama semua pihak dalam memastikan kelancaran Malam Muallim Berselawat.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya menghidupkan suasana kerohanian dalam kalangan mahasiswa, malah turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kolej. Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut memiliki jiwa yang seimbang dari aspek rohani dan sahsiah diri.