Oleh: Chong Yoke Ming, Nur Qasdyna Zafirah Md Rohim & Dr. Mohd Syariefudin Abdullah

Tanjong Malim, 7 Jun 2026 – Faham kepelbagaian yang wujud di sekeliling kita, hormati hak dan kepercayaan orang lain, serta terima perbezaan sebagai suatu realiti dan kekuatan dalam masyarakat Malaysia. Itulah pesanan Yang Berusaha Encik Zulkifli bin Hashim, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) buat mahasiswa UPSI.

Beliau berkata sedemikian semasa Executive Talk Bersama Ketua Pengarah JPNIN yang dianjurkan oleh Sekretariat Rukun Negara UPSI di Dewan Kuliah Pusat 3, Kampus Sultan Azlan Shah pada hari ini.

Program yang dihadiri lebih 300 mahasiswa pelbagai kaum itu bertujuan untuk mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan warga UPSI yang berbilang etnik, agama dan latar belakang.

“Belia perlu menyedari bahawa identiti nasional tidak bermaksud menghapuskan identiti etnik atau budaya masing-masing. Sebaliknya, identiti nasional Malaysia terbentuk melalui gabungan kepelbagaian yang kita miliki. Perpaduan bukan bererti keseragaman, tetapi keharmonian dalam kepelbagaian.”

Dalam slot yang dikendalikan oleh saudara Chong Yoke Ming, Exco Kanan 2 SRN UPSI sebagai moderator itu, YBrs. En. Zulkifli turut menyentuh mengenai cabaran media sosial terhadap usaha memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan belia.

Sesi Executive Talk Bersama Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
Ketua Pengarah JPNIN, Encik Zulkifli bin Hashim
Menyampaikan hujan kepara para peserta

“Pengaruh media sosial sangat kuat dalam membentuk persepsi, pandangan dan tingkah laku masyarakat. Platform digital hari ini membolehkan maklumat disebarkan dengan pantas tanpa sempadan, namun tidak semua maklumat itu tepat dan sahih. Penyebaran berita palsu, fitnah, stereotaip serta kandungan berunsur kebencian boleh mencetuskan salah faham dan ketegangan antara kaum, agama dan kelompok masyarakat.” ujar beliau.

“Fenomena yang dikenali sebagai ‘echo chamber’, iaitu keadaan dimana seseorang hanya terdedah kepada pandangan yang selari dengan kepercayaan dan pemikirannya sendiri akibat algoritma media sosial, turut memberi cabaran kepada usaha perpaduan ini. Akibatnya, ruang untuk memahami perspektif yang berbeza menjadi semakin sempit, sekaligus mengukuhkan prejudis dan prasangka terhadap pihak lain.”

En. Zulkifli turut mengajak semua mahasiswa untuk memainkan peranan sebagai Duta Perpaduan Digital, melalui empat langkah utama, iaitu menyemak sebelum menyebarkan sesuatu fakta, mengelakkan kandungan kebencian, mewujudkan ruang dialog serta menunjukkan teladan.

Dalam hal ini, beliau turut mengajak golongan belia untuk memperbanyakkan penghasilan kandungan perpaduan di media sosial untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.