Oleh: Alya Izzah Yahya

TANJONG MALIM, 25 Jun – Dalam usaha memelihara khazanah budaya agar tidak hilang ditelan zaman, Exco Bahasa Kadazan Dusun, Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Program Panggung Sunduan Gen Z yang berlansung di Dewan Kuliah Pusat 1 KSAS, UPSI. Program yang berlangsung dari jam 8:00 malam hingga 11:00 malam ini telah diserikan lagi dengan perasmian oleh Prof Dr. Julita @ NorJietta binti Taisin.

Program ini bukan sekadar aktiviti santai, malah program ini merupakan satu inisiatif berimpak tinggi. Penganjuran panggung ini dipandu rapat oleh Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) Keempat (Pendidikan Berkualiti) serta Kesembilan (Industri, Inovasi, dan Infrastruktur).

Objektif utama program panggung GenZ ini dijalankan  termasuklah, Memupuk Rasa Cinta Warisan iaitu dengan menyemai rasa bangga dan cinta terhadap bahasa serta kebudayaan kaum Kadazandusun dalam kalangan mahasiswa UPSI. Seterusnya, Memperkasakan pemahaman dan pengetahuan bahasa ibunda Kadazandusun bagi anak-anak Sabah yang menuntut di menara gading.

 Selain itu, menjadi jambatan integrasi untuk merapatkan ukhuwah dan hubungan silaturahim sesama mahasiswa dan mahasiswi Sabah. Tambahan pula, program ini dapat mempamerkan keindahan cerita rakyat dan keunikan seni budaya Kadazandusun di peringkat universiti melalui tayangan warisan budaya.

Program Panggung Sunduan Gen Z ini turut memberi penekanan terhadap pembangunan kemahiran insaniah (soft skills) para peserta. Melalui aktiviti seperti pertandingan penghasilan video dan poster, para mahasiswa didorong untuk berfikir secara kritis serta memanfaatkan elemen teknologi moden dalam konteks inovasi budaya.

Majlis yang dirasmikan oleh Prof Dr. Julita @ NorJietta binti Taisin ini membuktikan bahawa status sebagai ‘Gen Z’ bukanlah penghalang untuk anak muda menghargai akar budaya mereka. Syabas kepada Exco Bahasa KadazanDusun Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  atas penganjuran program yang penuh pengisian ilmiah, kreatif, dan bertenaga ini.