Oleh: Dr. Mohd Shahridwan Ramli, Muhammad Amirul Irfan Abdul Ghani dan Auni Aqilah Harifin, Fakulti Sains dan Matematik
TANJONG MALIM, 21 Jun 2026 – Usaha memperkasakan pengetahuan serta persediaan kerjaya dalam kalangan mahasiswa terus dipergiat apabila Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Taklimat Laluan Kerjaya Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 4 (DKP 4).
Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi itu disertai oleh mahasiswa tahun akhir Jabatan Matematik bagi memberi pendedahan awal mengenai laluan kerjaya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) selepas menamatkan pengajian.



Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Dr. Mohd Shahridwan bin Ramli, yang berkongsi pengalaman, pengetahuan serta panduan berkaitan laluan kerjaya dalam profesion perguruan. Beliau menerangkan secara terperinci struktur perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan bermula daripada proses permohonan, syarat kelayakan, laluan pengambilan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), sehinggalah kepada peluang pembangunan kerjaya dalam Kementerian Pendidikan Malaysia.
Selain itu, beliau turut mengupas struktur gaji permulaan bagi skim perkhidmatan DG9 beserta elaun yang ditawarkan, di samping menjelaskan perbezaan laluan kenaikan pangkat melalui Time-Based Kecemerlangan (TBBK) dan Laluan Cemerlang. Peserta turut diberikan penerangan mengenai syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk setiap laluan kenaikan pangkat, termasuk peluang mencapai gred yang lebih tinggi melalui prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.


Dalam sesi yang sama, beliau turut berkongsi panduan menghadapi temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) yang merangkumi persediaan dokumen, penampilan profesional, penguasaan ilmu pedagogi, komunikasi, kemahiran pengajaran melalui sesi microteaching serta aspek-aspek utama yang sering dinilai oleh panel penemuduga. Perkongsian tersebut memberikan gambaran yang lebih jelas kepada mahasiswa mengenai proses sebenar sebelum bergelar seorang pendidik.
Sesi soal jawab yang berlangsung pada penghujung program turut memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan prospek kerjaya, peluang kenaikan pangkat serta perancangan pembangunan profesional dalam bidang pendidikan.


Penganjuran taklimat ini diharapkan dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan mahasiswa tahun akhir dalam merancang laluan kerjaya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, sekali gus melahirkan graduan yang lebih kompeten, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.
