Sesi fotografi Timbalan Dekan HEPA bersama tetamu jemputan, pelajar dan ibu bapa pelajarSesi fotografi Timbalan Dekan HEPA bersama tetamu jemputan, pelajar dan ibu bapa pelajar

oleh: Dr. Ijlal Mohd Diah, Dr. Nurihan Nasir, Auni Aqilah Harifin dan Nur Zalia Marehal.

Tanjong Malim, 27 Jun 2026 – Bagi mengiktiraf dan menghargai kecemerlangan akademik mahasiswa, Jabatan Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan Majlis Anugerah Dekan Jabatan Matematik.

Majlis ini bertujuan meraikan mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian dan Program Diploma Sains (Matematik) yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang bagi Semester Satu Sesi 2025/2026 (A251).

Ucapan alu-aluan daripada Pengarah Program
Tayangan video ucapan daripada Dekan Fakulti Sains dan Matematik
Ucapan perasmian majlis daripada Timbalan Dekan HEPA

Selain itu, program ini juga terus menjadi platform untuk menyuntik semangat dan motivasi kepada seluruh pelajar Jabatan Matematik agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Program, saudari Auni Aqilah binti Harifin. Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat, barisan pensyarah, para penerima Anugerah Dekan, ibu bapa dan semua hadirin yang hadir bagi memeriahkan Majlis Anugerah Dekan Jabatan Matematik. Beliau turut menjelaskan bahawa penganjuran majlis bertujuan mengiktiraf kecemerlangan akademik mahasiswa dan menyatakan harapan agar majlis berlangsung dengan lancar dan mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Sesi penyampaian sijil kepada penerima Anugerah Dekan
Sesi penyampaian sijil kepada penerima Anugerah Dekan
Sesi persembahan daripada Fifth Chord Band

Sebagai pembuka Majlis Anugerah Dekan Jabatan Matematik, video ucapan daripada Yang Berusaha Profesor Dr. Mohd Faizal Nizam Lee bin Abdullah, Dekan Fakulti Sains dan Matematik ditayangkan. Dalam video ucapannya, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima Anugerah Dekan atas kecemerlangan akademik yang telah dicapai. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para pensyarah, ibu bapa dan semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepada mahasiswa sepanjang tempoh pengajian. Beliau berharap agar pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin kepada mahasiswa untuk terus mengekalkan prestasi cemerlang dan berusaha mencapai kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan. Selain itu, majlis turut diserikan dengan tayangan video ucapan daripada penasihat-penasihat akademik.

Majlis Anugerah Dekan Jabatan Matematik telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Dr. Mohd Ikhwan Hadi bin Yaacob. Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Dekan atas kejayaan yang telah dicapai serta menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, pensyarah dan semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan akademik mahasiswa.

Sesi persembahan daripada Fifth Chord Band
Sesi fotografi Penasihat Akademik bersama pelajar dan ibubapa

Beliau turut berharap agar pengiktirafan yang diterima menjadi pemangkin semangat kepada para mahasiswa untuk terus mengekalkan kecemerlangan akademik, di samping memperkukuh sahsiah, kemahiran insaniah dan nilai kepimpinan. Dalam masa yang sama, beliau menyeru agar mahasiswa terus berusaha meningkatkan potensi diri dan memanfaatkan ilmu yang diperoleh demi menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara pada masa hadapan.

Penyampaian Anugerah Dekan kepada mahasiswa telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Dr. Mohd Ikhwan Hadi bin Yaacob. Sesi penyampaian sijil Anugerah Dekan dimulakan dengan mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan, diikuti oleh mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian dan seterusnya mahasiswa Program Diploma Sains (Matematik). Turut mengiringi beliau sepanjang sesi penyampaian sijil Anugerah Dekan ialah Dr. Shahridwan bin Ramli, Ketua Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Jabatan Matematik.

Sesi fotografi Penasihat Akademik bersama pelajar dan ibubapa
Sesi photo booth Penasihat Akademik dan pelajar

Majlis turut diselang-selikan dengan persembahan nyanyian dari kumpulan Fifth Chord Band oleh mahasiswa Fakulti Sains dan Matematik dengan kerjasama mahasiswa Fakulti Muzik dan Seni Persembahan. Persembahan tersebut telah berjaya menyerikan suasana majlis dan memberikan hiburan kepada para hadirin. Pada masa yang sama, ia mengetengahkan bakat dan kreativiti mahasiswa daripada kedua-dua fakulti. Persembahan ini bukan sahaja menjadi pengisian yang menarik, malah turut menyemarakkan lagi kemeriahan Majlis Anugerah Dekan Jabatan Matematik

Majlis turut memberi ruang kepada para penerima Anugerah Dekan untuk mengadakan sesi pertemuan dan bergambar bersama penasihat akademik dan ibu bapa sebagai tanda penghargaan atas segala sokongan, bimbingan serta dorongan yang telah diberikan sepanjang tempoh pengajian. Sesi ini berlangsung dalam suasana penuh mesra dan bermakna, sekali gus menjadi pentas untuk meraikan kejayaan mahasiswa di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa, ibu bapa dan warga akademik. Detik-detik yang dirakam melalui sesi fotografi ini turut menjadi kenangan istimewa yang mencerminkan hasil usaha, pengorbanan dan komitmen semua pihak dalam mencapai kecemerlangan akademik.

Selain itu, majlis diserikan dengan jamuan makan tengah hari yang menampilkan hidangan daripada Richiamo Coffee dan pelbagai juadah lain kepada semua tetamu kehormat, pensyarah, ibu bapa serta para mahasiswa yang hadir. Jamuan tersebut bukan sahaja menjadi tanda penghargaan atas kehadiran dan sokongan para hadirin, malah turut mewujudkan suasana yang mesra serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Jabatan Matematik.

Selain itu, ruang fotografi atau photo booth turut disediakan bagi membolehkan para penerima Anugerah Dekan, ahli keluarga, pensyarah dan rakan-rakan mengabadikan detik-detik istimewa sepanjang majlis berlangsung. Kemudahan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila para hadirin mengambil peluang untuk merakam kenangan bersama sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian akademik yang diraikan. Sesi fotografi tersebut bukan sahaja menyerikan suasana majlis, malah menjadi kenangan bermakna yang akan terus dikenang oleh semua yang hadir.

Penganjuran Majlis Anugerah Dekan Jabatan Matematik bukan sahaja menjadi wadah menghargai kecemerlangan akademik mahasiswa, malah membuktikan komitmen Jabatan Matematik dalam membudayakan kecemerlangan dan memberi inspirasi kepada seluruh mahasiswa untuk terus berusaha mencapai prestasi yang lebih cemerlang pada masa hadapan.