Oleh: ODERINNE JUDE ANAK ALING

Tanjong Malim, 16 Jun 2026 – Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR) Sidang 2025/2026, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah berjaya menganjurkan Program PesTari 2.0 & Busakitra. Program yang berlangsung gilang-gemilang dari pukul 7:00 malam hingga 11:00 malam di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jahil Shah ini telah dihadiri oleh mahasiswa serta barisan panel jemputan yang memeriahkan suasana dewan.

Program dwi-komponen ini menggabungkan dua elemen utama iaitu ‘PesTari 2.0’ (Pesta Tarian Tradisional) dan ‘Busakitra’ (Pertandingan Busana Kitar Semula). Inisiatif PesTari 2.0 bertujuan untuk memperkenalkan, menghidupkan semula serta mengangkat martabat seni tarian tradisional pelbagai kaum dan etnik di Malaysia mahupun antarabangsa agar tidak ditelan zaman akibat arus globalisasi. Melalui komponen ini, para penonton dan peserta bukan sahaja dihiburkan, malah didedahkan kepada maksud simbolik di sebalik gerakan tarian, keunikan muzik dan busana tradisional.

Sementara itu, Busakitra pula menyuntik elemen kelestarian alam sekitar dengan mencabar kreativiti mahasiswa menghasilkan busana memukau daripada bahan-bahan terpakai seperti plastik, kertas, kain lama dan bahan buangan yang lain. Komponen ini menjadi medium pendidikan yang sangat berkesan dalam meningkatkan kesedaran komuniti kampus terhadap kepentingan amalan kitar semula demi mengurangkan pencemaran dunia.

Majlis penuh adat dan estetika ini telah dirasmikan dengan gilang-gemilang oleh Saudari Natalea Joey Anak Nikodemus selaku Exco Kesenian & Kebudayaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang 2025/2026. Bagi memastikan kualiti dan ketelusan penjurian berada pada tahap tertinggi, pihak penganjur telah mengamanahkan tanggungjawab tersebut kepada panel juri jemputan yang sangat profesional. Barisan juri tersebut terdiri daripada Puan Marina Binti Awang Ahmad, Encik Muhamad Fakhrullah Bin Farrok serta Saudara Beron Justin. Kehadiran barisan personaliti hebat ini telah memberikan suntikan semangat yang tinggi kepada semua peserta yang bertanding. Malam kemuncak tersebut turut diserikan lagi dengan persembahan yang memukau daripada penyanyi jemputan khas, Roeynd Jr Robert, seorang penggiat seni nyanyian berbakat dari UPSI.

Suasana dewan bertukar menjadi semakin hangat dan meriah apabila program menyaksikan persaingan sengit daripada tiga kumpulan yang bertanding bagi kategori tarian tradisional PesTari 2.0. Kumpulan tersebut adalah Pawaka Sakti, Seri Gemalai dan Valartamil Taaragal.

Dalam masa yang sama empat kumpulan lagi memperagakan hasil rekaan pakaian kreatif mereka dalam kategori Busakitra. Kumpulan tersebut adalah Winx Club, Senandung Lima, Heritage Queen dan Seri Gemalai.

Kehadiran 150 orang penonton bukan sahaja memenuhi ruang dewan untuk memberikan sokongan padu malah berjaya mewujudkan suasana yang sangat harmoni, ceria dan penuh dengan semangat perpaduan. Kemeriahan malam tersebut diakhiri dengan agihan sepuluh hadiah cabutan bertuah dan cenderahati eksklusif kepada para penonton sebelum ditutup dengan sesi fotografi sebagai kenangan buat semua pihak yang terlibat.

Secara keseluruhannya, Program PesTari 2.0 & Busakitra telah mencapai impak maksimal dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah kaya dengan nilai estetika warisan, bekerjasama, bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta mempunyai sahsiah yang seimbang. Syabas diucapkan kepada Persatuan Moral (PERMOR) dan semua pihak yang terlibat.