Ditulis Oleh: SHERLYN KEDDY
Tanjong Malim, 6 Jun 2026 – Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan usaha memperkukuhkan budaya prihatin dan kebersamaan dalam kalangan komuniti kampus menerusi penganjuran Program Dialogue And Dine To Embrace The Empathy 2.0 yang berjaya dilaksanakan dengan penuh bermakna.
Program berbentuk kebajikan ini menyaksikan sebanyak 100 bungkus nasi lemak berserta air mineral diagihkan secara percuma kepada 100 orang mahasiswa dan warga UPSI sebagai tanda keprihatinan terhadap keperluan komuniti kampus, khususnya mahasiswa yang berdepan cabaran dari aspek kewangan dan keperluan harian.



Penganjuran program ini bertujuan untuk menyediakan sokongan kepada mahasiswa melalui bantuan makanan, di samping menyemai nilai empati, solidariti, keprihatinan dan semangat saling membantu dalam kalangan warga universiti. Selain itu, program ini turut menjadi medium untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu kemiskinan serta kepentingan memainkan peranan dalam membantu golongan yang memerlukan.
Seawal jam 7.30 pagi, barisan jawatankuasa pelaksana telah bergerak ke beberapa lokasi strategik yang telah ditetapkan bagi memastikan proses pengagihan berjalan dengan lancar, antaranya checkpoint perhentian bas Dewan Kuliah Pusat (DKP), perhentian bas Kolej Ungku Omar (KUO) dan perhentian bas Kolej Harun Aminurrashid (KHAR).
Menurut pihak penganjur, Program Dialogue And Dine To Embrace The Empathy 2.0 merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan program terdahulu yang mendapat sambutan positif daripada warga UPSI. Kejayaan program sebelum ini menjadi pemangkin kepada penganjuran kali kedua sebagai usaha berterusan dalam membudayakan amalan empati serta memperkukuhkan hubungan kemanusiaan dalam komuniti universiti.



Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada mahasiswa, malah turut membuka ruang kepada kakitangan UPSI untuk menerima agihan makanan sebagai tanda penghargaan dan usaha mempererat hubungan antara seluruh warga kampus. Inisiatif ini membuktikan bahawa nilai keprihatinan tidak terbatas kepada golongan tertentu, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama dalam membina persekitaran universiti yang lebih penyayang dan inklusif.
Sementara itu, beberapa mahasiswa yang menerima agihan makanan menzahirkan rasa syukur dan menghargai inisiatif yang dilaksanakan kerana ia sedikit sebanyak membantu mereka mendapatkan sarapan sebelum meneruskan sesi pembelajaran. Bagi mereka, program sebegini bukan sahaja memberi manfaat dari aspek keperluan harian, malah turut memberikan rasa dihargai dan disokong oleh komuniti universiti.
Secara keseluruhannya, Program Dialogue And Dine To Embrace The Empathy 2.0 telah berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam menyemai nilai empati, solidariti dan keprihatinan dalam kalangan mahasiswa serta warga UPSI. Program ini membuktikan bahawa tindakan kecil yang dilakukan secara bersama mampu memberikan impak besar dalam membina budaya saling membantu dan memperkukuhkan kesejahteraan komuniti kampus.
Diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penambahbaikan dari segi skala pelaksanaan, pengisian aktiviti serta penglibatan komuniti yang lebih meluas. Kesinambungan program ini diharapkan mampu menjadi platform berterusan dalam melahirkan warga universiti yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, tetapi turut memiliki nilai kemanusiaan, keprihatinan dan tanggungjawab sosial yang tinggi.
Melalui usaha berterusan seperti ini, PERMOR berharap budaya empati dan solidariti dapat terus berkembang dalam kalangan warga UPSI sekali gus mewujudkan sebuah komuniti kampus yang lebih harmoni, prihatin dan sejahtera.

