Oleh : Che Muhammad Hanif Che Zahari, Ummie Yasirah Ridzuan, Dr. Muhammad Nazirul Mohd Sabri dan Dr Wan Maslukma Wan Zaharudin
Masjid Al-Mursyidin, 18 Jun 2026- Seramai dua puluh satu orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menghadiri Program Pengajian Kitab Safinah siri 9 di bahagian koridor masjid Al-Mursyidin, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Program ini merupakan anjuran bersama Pusat Islam, Waqaf, Endowment, Zakat, Khairat dan Sadaqah (WEZAS), Al-Mursyidin Club, Kolej Ungku Omar, Persatuan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat, Persatuan Bahasa Arab dan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA).
Program Pengajian Kitab Safinah merupakan satu inisiatif ilmiah yang signifikan dalam usaha memperkukuh kefahaman agama dalam kalangan mahasiswa/i UPSI, khususnya di bawah Jabatan Pengajian Islam (JPI). Berteraskan pendekatan pengajian Safinah yang berperingkat dan sistematik, program ini telah dilaksanakan dengan jayanya melalui lapan siri terdahulu pada 7 dan 14 November 2025, 9 dan 16 Disember 2025, 8 dan 15 Januari 2026 serta 8 April dan 3 Jun 2026. Kesinambungan pengajian ini diteruskan lagi melalui sesi seterusnya pada 18 Jun 2026 dengan penekanan kepada pembinaan asas ilmu yang lebih mantap dan berstruktur
Program ini bukan sekadar menjadi platform penyampaian ilmu, malah berfungsi sebagai medium yang memperkukuhkan budaya ilmu dalam kalangan mahasiswa/i UPSI. Melalui penganjuran program ini, hubungan silaturahim antara pihak pimpinan, tenaga pengajar dan mahasiswa/i turut diperkasakan dalam suasana yang harmoni.



Di samping itu, pengisian yang disampaikan dalam program ini memberi manfaat yang besar kepada para peserta dalam memperkukuhkan pengetahuan fiqah, khususnya berkaitan hukum-hakam ibadah yang menjadi asas dalam kehidupan seorang Muslim. Perkongsian ilmu secara berperingkat membantu peserta memahami konsep serta tatacara pelaksanaan ibadah dengan lebih jelas dan tepat menurut syariat. Selain meningkatkan kefahaman, program ini turut mendorong peserta untuk menilai serta memperbaiki amalan ibadah yang dilakukan, di samping menyemai kesedaran tentang kepentingan menuntut ilmu agama secara berterusan sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Melalui sesi Program Pengajian Kitab Safinah Siri 9 yang berlangsung pada 18 Jun 2026, tumpuan perbincangan telah diberikan kepada jenis-jenis najis yang terbahagi kepada 3 bahagian iaitu najis mughallazah, najis mukhaffafah dan najis mutawassitah. Najis mughallazah ialah najis berat yang berpunca daripada anjing dan babi serta keturunannya atau yang lahir daripada salah satu daripadanya. Najis Mukhaffafah pula ialah air kencing bayi lelaki yang berumur kurang daripada dua tahun dan hanya minum susu ibu. Jika bayi tersebut telah minum susu formula atau makan makanan lain walaupun sedikit, air kencingnya tidak lagi dikira najis mukhaffafah, sebaliknya menjadi najis Mutawassitah. Najis Mutawassitah ialah semua najis selain daripada najis mughallazah dan mukhaffafah.
Seterusnya, isi yang telah disampaikan juga berkaitan tentang cara menyucikan setiap jenis najis mengikut hukum syarak. Najis Mughallazah hendaklah disertu dengan membuang najis terlebih dahulu, kemudian membasuh sebanyak tujuh kali dan salah satu basuhan mestilah menggunakan air bercampur tanah yang suci. Najis Mukhaffafah pula memadai dengan merenjis atau memercikkan air mutlak sehingga meliputi tempat yang terkena najis. Manakala najis Mutawassitah terbahagi kepada dua, iaitu najis ’ainiyyah, yang masih mempunyai warna, bau atau rasa dan perlu dibasuh sehingga hilang kesemua sifat tersebut, serta najis hukmiyyah, iaitu najis yang sudah tiada warna, bau dan rasa tetapi diyakini pernah terkena najis, yang memadai disucikan dengan mengalirkan air mutlak pada tempat tersebut.
Selain itu, sesi pengajian ini turut diselitkan dengan sesi soal jawab interaktif bagi memberi ruang kepada mahasiswa/i untuk mengemukakan persoalan, mendapatkan penjelasan lanjut serta memperkukuh kefahaman terhadap topik yang dibincangkan. Pendekatan ini secara tidak langsung menggalakkan penglibatan aktif peserta dan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik serta berkesan.
Kesimpulannya, program ini dapat menyokong usaha Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam melahirkan bakal pendidik yang berilmu, berakhlak dan berketerampilan. Di samping itu, program ini turut membantu membentuk mahasiswa/i yang mempunyai kefahaman agama yang mantap serta berupaya menghayati dan mengamalkan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian.
