Oleh : Alif Nawi
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (MPP UPSI) telah menganjurkan program KPT Prihatin: Ziarah MPP pada 26 Julai 2026, sebagai satu inisiatif yang membawa semangat prihatin dari kampus terus ke komuniti. Program ini melibatkan lawatan ke rumah 5 orang pelajar UPSI yang berada dalam kategori B40 dan B10, sebagai tanda sokongan dan keprihatinan pihak MPP terhadap kebajikan pelajar yang memerlukan bantuan.
Program ini turut dihadiri oleh Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCHEPA) UPSI bagi sama – sama menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang terlibat dan menzahirkan sokongan padu pihak pengurusan universiti terhadap inisiatif ini.
Sepanjang ziarah berlangsung, TNCHEPA bersama MPP UPSI berpeluang bertemu dan berbual secara terus bersama pelajar dan ahli keluarga pelajar terlibat, mendengar cerita dan cabaran yang dihadapi dalam meneruskan pengajian.



Selain memberikan sumbangan, lawatan ini turut menjadi ruang untuk MPP UPSI menyampaikan sokongan moral serta menegaskan bahawa pelajar tidak keseorangan dalam menghadapi sebarang kesukaran semasa berada di kampus.
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MPP UPSI dalam memastikan suara dan kebajikan setiap pelajar didengari, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi. Ia turut mencerminkan peranan MPP bukan sekadar sebagai badan pentadbiran pelajar, tetapi juga sebagai jambatan yang menghubungkan universiti dengan komuniti pelajar yang lebih luas.
Saudara Muhammad Luqman Nurhakim Zuliksyam, Yang Dipertua MPP UPSI turut berkongsi, “Ziarah seperti ini mengingatkan kita bahawa kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan, tetapi tentang keprihatinan dan tindakan nyata untuk membantu mereka yang memerlukan. Kami berharap sumbangan kecil ini mampu memberi impak besar buat rakan-rakan pelajar.”
Secara keseluruhannya, program KPT Prihatin: Ziarah MPP ini membuktikan bahawa perjalanan dari universiti ke komuniti bukan sekadar simbolik, tetapi satu langkah nyata MPP UPSI dalam memupuk budaya prihatin, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan semangat kepimpinan yang berteraskan kasih sayang dan perkhidmatan kepada masyarakat.
