oleh Prof. Madya Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin, Rabbiatul Umaira Ramli, Florencea Roslin

PASIR GUDANG – Usaha memperkasakan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) Matematik di sekolah terus dipergiat menerusi penganjuran Program EDUIMPACT: STEM Math Educator Kit for Math Teachers 4.0 yang berlangsung di Dewan Ibn Zain, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permas Jaya 2, baru-baru ini.

Program yang dilaksanakan pada 4 Ogos lalu itu dianjurkan oleh STEM Nurturing Centre, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dibawah Projek Dana Kajian Sosial Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tahun 2025 dengan kerjasama strategik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang. Inisiatif berkenaan diketuai oleh delegasi pakar pensyarah FSM, UPSI dan STEM Ambassador di bawah STEM Nurturing Center. 

Penerangan bengkel sedang dilaksanakan sebelum aktiviti hands-on bermula
 Wakil guru Matematik Pasir Gudang yang hadir ketika bengkel dijalankan

Seramai 65 orang guru matematik dari sekitar daerah Pasir Gudang menyertai bengkel teknikal ini bagi menguasai pengaplikasian 10 kit inovasi interaktif, antaranya Kit Algebase, Kit Mabox, Kit Transiso, Kit GeoMeasure, dan Kit Lokus Pro 360’.

Program ini berfokus kepada kaedah pembelajaran hands-on serta integrasi teknologi digital seperti Realiti Terimbuh (Augmented Reality – AR). Pendekatan ini membolehkan pendidik menyampaikan konsep abstrak seperti algebra dan transformasi secara visual serta kinestetik, sekali gus memudahkan kefahaman murid daripada pelbagai aras kognitif.

Menurut penganjur, program ini turut berfungsi sebagai platform perkongsian amalan terbaik antara pendidik untuk memupuk kemahiran abad ke-21. Menerusi slot khas seperti pengenalan Kit GeoXpert, peserta didedahkan dengan strategi penyampaian topik-topik yang sering dianggap mencabar oleh para pelajar.

Peserta mula mempelajari kit-kit matematik
Peserta mengambil peluang untuk menggunakan kit-kit matematik dengan bantuan STEM Ambasaddor FSM

Dapatan maklum balas menunjukkan tahap kepuasan yang amat tinggi dalam kalangan peserta, dengan purata skor min keseluruhan mencatatkan 4.40, manakala penilaian bagi modul kandungan program mencapai skor tertinggi iaitu 4.50. Kebanyakan guru menyifatkan kit inovasi tersebut sebagai instrumen praktikal yang sangat relevan dalam mendepani cabaran pendidikan moden.

Penganjuran EDUIMPACT 4.0 ini terbukti berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan profesionalisme guru matematik di Johor, di samping menjadi pemangkin kepada penganjuran lebih banyak inovasi pendidikan STEM pada masa akan datang.