Oleh : Hanna Wafa dan Norrulkamari Daud
Tanjong Malim, 23 Ogos 2026 – Program Mobile Legends : Road to Champion telah dilaksanakan dengan jayanya sebagai salah satu inisiatif bagi memberi ruang kepada mahasiswa/i UPSI khususnya untuk menyertai aktiviti e-sukan dalam suasana yang sihat, menyeronokkan dan kompetitif. Program ini adalah anjuran Exco Media, Publisiti dan Informasi Persatuan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK), Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) sidang 2026/2027.
Penglibatan peserta hampir 100 orang ini bukan sahaja menekankan aspek teknikal dan kemahiran dalam permainan, bahkan turut melibatkan kemahiran berkomunikasi, membuat keputusan serta menyusun strategi bersama ahli pasukan. Setiap peserta perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan pasukan dapat bekerjasama dengan baik dan mencapai matlamat program yang ditetapkan.
Sebagai Penasihat Persatuan, Puan Norrulkamari Daud, amat menghargai usaha dan komitmen yang telah diberikan oleh pihak penganjur dalam menjayakan program ini. Program ini bukan sahaja dapat mengembangkan kemahiran dan strategi peserta, malah turut memupuk semangat kerjasama, disiplin dan persaingan secara sihat. Beliau berharap agar semua peserta memperoleh pengalaman yang bermakna serta dapat mengaplikasikan nilai-nilai positif yang diperoleh sepanjang program ini.


Selain itu, menurut Auni Raihah binti Ruji, selaku Pengarah Program, Mobile Legends bukan sekadar memberi peluang kepada mahasiswa/i untuk menyertai pertandingan e-sukan, malah menjadi platform untuk mereka mengembangkan kemahiran komunikasi, kerjasama berpasukan, kepimpinan dan pemikiran strategik.
Sepanjang pertandingan berlangsung, setiap pasukan menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang tinggi dalam memberikan persembahan terbaik. Suasana pertandingan turut dimeriahkan dengan sokongan rakan-rakan dan peserta yang hadir. Sorakan serta sokongan yang diberikan secara tidak langsung meningkatkan semangat para pemain untuk terus memberikan saingan sehingga ke peringkat akhir.
Sesi penutup program diteruskan dengan pengumuman keputusan pertandingan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang sebagai tanda penghargaan atas pencapaian serta komitmen yang diberikan sepanjang pertandingan. Sesi fotografi turut diadakan sebagai kenangan bersama peserta, pihak penganjur dan semua yang terlibat.
Para pemenang telah menerima hadiah menarik sebagai penghargaan atas pencapaian mereka iaitu Johan, dimenangi oleh kumpulan Raja Iblis membawa pulang wang tunai sebanyak RM120 beserta medal dan sijil penghargaan manakala Naib Johan pula, The Boyyzzz menerima wang tunai sebanyak RM90 beserta medal dan sijil penghargaan. Bagi pemenang tempat ketiga membawa pulang wang tunai sebanyak RM60 turut disertakan dengan medal dan sijil penghargaan. Selain itu, pemenang tempat keempat dan kelima juga tidak pulang dengan tangan kosong kerana masing-masing turut menerima medal dan e-sijil penghargaan sebagai tanda pengiktirafan.
Majlis berlangsung lancar dan meriah dengan sokongan semua pihak yang terlibat. Program ini turut memberi impak yang besar kepada AJK pelaksana yang terdiri daripada Exco dan Rakan Exco Persatuan DPAKK.
Secara keseluruhannya, program Mobile Legends: Road to Champion berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan dengan penglibatan aktif daripada para peserta. Penganjuran program ini membuktikan bahawa e-sukan bukan sekadar aktiviti hiburan, malah mampu menjadi medium dalam membentuk kemahiran komunikasi, kerjasama, strategi dan semangat persaingan yang sihat dalam kalangan mahasiswa.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan yang lebih meluas agar mahasiswa dapat terus menyertai aktiviti e-sukan dalam suasana yang positif, terancang dan menyeronokkan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian dalam program Mobile Legends: Road to Champion serta barisan AJK pelaksana program dalam merancang, mengendalikan dan menjayakan program ini.
