TANJONG MALIM, 25 Ogos 2026 – Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini melancarkan Aktiviti Memasak Bersama Pelajar Diploma di bawah inisiatif Dapur Siswa Madani. Program ini menyaksikan semangat gotong-royong dalam kalangan mahasiswa yang bekerjasama menyediakan hidangan berkhasiat.
Usaha murni tersebut telah berjaya mengagihkan sebanyak 100 pek makanan secara percuma kepada para pelajar yang memerlukan di KHAR.
Inisiatif Dapur Siswa Madani merupakan program tajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) KPT yang menyediakan kemudahan ruang, peralatan memasak, dan bekalan bahan mentah di kolej kediaman Ihsan Madani.
Program ini bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup di kampus, menyemai nilai kesukarelawanan, serta menyahut hasrat KPT bagi memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terpelihara dan tiada lagi pelajar yang kelaparan sepanjang tempoh pengajian KPT.
Mewakili suara para peserta, salah seorang pelajar diploma yang terlibat berkongsi harapan tinggi mereka terhadap impak jangka masa panjang program komuniti ini.


“Kami amat bersyukur dengan adanya Dapur Siswa Madani ini kerana ia bukan sahaja mengenyangkan perut, malah merapatkan ukhuwah kami sebagai pelajar diploma. Hasrat kami adalah agar inisiatif murni seperti ini dapat diteruskan secara konsisten pada masa hadapan. Kami mahu memastikan tiada rakan kuliah kami yang terpaksa berlapar atau hilang fokus belajar hanya kerana kekangan wang. Bersama kita memasak dengan kasih, bersama kita berkongsi rezeki,” kata Wakil Pelajar Diploma KHAR UPSI.
Menerusi slogan “Memasak dengan Kasih, Berkongsi dengan Ikhlas,” program ini membuktikan komitmen proaktif UPSI dalam menjaga kebajikan anak kandung suluh budiman agar mereka dapat fokus sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik tanpa sebarang kerisauan.

