KUALA LUMPUR: Skuad olahraga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencuri tumpuan pada hari pertama saingan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 apabila kuartet 4×100 meter (m) wanita bukan sahaja menghadiahkan emas pertama buat kontinjen universiti, malah turut memecahkan rekod kejohanan.
Gandingan Fatin Ilyana Mat Nayan, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka, Mis’ezatul Shafieqa Sapawi dan Nur Izzati Eliana Suhaidi menampilkan larian bertenaga untuk melintasi garisan penamat dengan catatan 46.60 saat.
Catatan itu meletakkan UPSI di hadapan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang meraih perak dengan masa 47.72s, manakala Politeknik Malaysia (POLI) menamatkan saingan di tempat ketiga menerusi catatan 50.53s.
Kejayaan kuartet wanita itu menjadi detik penting buat kem olahraga UPSI apabila pingat emas berkenaan merupakan emas pertama universiti dalam temasya SUKIPT kali ini.
Skuad olahraga UPSI turut hampir mencipta kejayaan berganda menerusi acara 4x100m lelaki apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 40.16s.


UPM memenangi emas dengan masa 39.98s, hanya 0.18 saat di hadapan UPSI, sementara POLI meraih gangsa selepas mencatat 41.75s.
Prestasi cemerlang UPSI tidak terhenti dalam dua acara berganti-ganti itu apabila beberapa atlet lain turut menaiki podium pada hari pertama pertandingan.
Muhd Harith Haikal menyumbang pingat perak menerusi catatan 7.10 meter, sementara Farisha Athirah turut memperoleh perak dalam acara merejam lembing wanita dengan catatan 36.21m.
Dalam acara 10,000m jalan kaki wanita, UPSI berjaya membawa pulang dua pingat apabila Kaarthiyani a/p Parameswaran meraih perak selepas mencatat 59 minit 51.59 saat.
Rakan sepasukannya, Putri Yasmin Mohd Pisol, pula memperoleh pingat gangsa dengan catatan 1 jam 3 minit 13.46 saat.
Seorang lagi atlet UPSI, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas, turut menyumbang pingat gangsa menerusi catatan 58.92s.
Hasil keseluruhan menyaksikan pasukan olahraga UPSI mengumpul tujuh pingat pada hari pertama, terdiri daripada satu emas, empat perak dan dua gangsa.
Kejayaan memecahkan rekod kejohanan menerusi kuartet 4x100m wanita memberi permulaan meyakinkan buat skuad olahraga UPSI dan meletakkan mereka dalam landasan positif untuk meneruskan cabaran memburu lebih banyak pingat sepanjang baki saingan SUKIPT 2026 di Universiti Malaya.
