Profesor Dato’ Dr. Amin bin Md Taff (ketujuh dari kiri), menyerahkan Surat Tawaran Bersyarat Program Pengajian Siswazah secara simbolik kepada wakil pelajar, Abbas Ali bin Iftikhar Hussain, penerima Tokoh Siswa UPSI 2025.Profesor Dato’ Dr. Amin bin Md Taff (ketujuh dari kiri), menyerahkan Surat Tawaran Bersyarat Program Pengajian Siswazah secara simbolik kepada wakil pelajar, Abbas Ali bin Iftikhar Hussain, penerima Tokoh Siswa UPSI 2025.

Oleh: Ainnur Shazleen

TANJONG MALIM, 9 September 2026 – Kepelbagaian budaya, semangat kenegaraan dan nilai kebersamaan diketengahkan dalam Perhimpunan Bulanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Edisi September 2026 menerusi program bertemakan “Rasa Dunia, Jiwa Malaysia” yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.

Program anjuran Institut Pengajian Siswazah (IPS) dengan kerjasama Bahagian Sumber Manusia (BSM) serta Pusat Antarabangsa, Mobiliti dan Pengembangan Pendidikan (IMAC) ini menggabungkan pengisian rasmi universiti dengan elemen kenegaraan dan kepelbagaian budaya, selaras dengan usaha memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga UPSI.

Simbolik penyerahan Surat Tawaran Bersyarat Program Pengajian Siswazah oleh Naib Canselor UPSI, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, menjadi antara pengisian signifikan yang melambangkan peluang kepada pelajar Sarjana Muda UPSI untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian siswazah.

Simbolik penyerahan surat tawaran tersebut diserahkan kepada Saudara Abbas Ali bin Iftikhar Hussain, penerima Tokoh Siswa UPSI 2025, yang mewakili para pelajar menerima Surat Tawaran Bersyarat Program Pengajian Siswazah.

Pengisian tersebut turut disusuli tayangan montaj IPS sebelum warga UPSI mengikuti Sesi Interaktif Kenegaraan Malaysia MADANI bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang disampaikan oleh Pengarah AKM Negeri Pahang, Encik Mohd Kamal Bin Mohd Affandi.

Sesi berkenaan memberi ruang kepada warga UPSI mendalami aspek patriotisme, perpaduan nasional, pembentukan jati diri serta tanggungjawab sebagai warga negara Malaysia dalam pembangunan negara, selaras dengan penghayatan nilai kenegaraan yang diketengahkan menerusi tema program.

Dalam pada itu, Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff dalam ucapannya berkata, kemerdekaan tidak seharusnya hanya dilihat sebagai pembebasan daripada penjajahan fizikal, sebaliknya semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui keberanian untuk berfikir, berusaha dan menghasilkan sesuatu yang memberikan manfaat kepada masyarakat serta negara.

Semangat tersebut turut berkait rapat dengan peranan institusi pendidikan dalam melahirkan warga yang berdaya fikir, berdaya cipta dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Tema “Rasa Dunia” menjadi simbolik kepada keterbukaan warga UPSI terhadap kepelbagaian budaya, kesediaan untuk mengenali dan memahami masyarakat antarabangsa serta kedudukan UPSI sebagai sebuah universiti yang mempunyai jaringan global, termasuk komuniti pelajar dan kakitangan antarabangsa.

Elemen ini diterjemahkan menerusi sajian makanan yang mengetengahkan cita rasa dari pelbagai negara, di samping dekorasi berkonsepkan negara-negara berbeza yang menghiasi ruang program. Kepelbagaian sajian dan dekorasi tersebut memberi peluang kepada warga UPSI menikmati pengalaman merentasi budaya dalam suasana yang lebih santai dan interaktif.

Sesi penyampaian hadiah kepada pemenang Kuiz Pengetahuan IPS dan Kenegaraan.
Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, menikmati pengalaman “Rasa Dunia” menerusi kunjungan ke reruai yang menampilkan sajian dan dekorasi berkonsepkan pelbagai negara.
Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff beramah mesra bersama wakil PETRONAS di reruai PETRONAS AutoExpert & MotoExpert @ UPSI.

Selain itu, reruai PETRONAS AutoExpert & MotoExpert @ UPSI turut memeriahkan program menerusi pemeriksaan kenderaan dan motosikal secara percuma, promosi eksklusif produk PETRONAS, khidmat konsultasi pelincir serta pelbagai aktiviti interaktif dan cabutan bertuah. Bagi pemilik motosikal, turut disediakan pemeriksaan rantai dan servis minyak enjin.

Penganjuran Perhimpunan Bulanan UPSI Edisi September memperlihatkan usaha universiti menjadikan perhimpunan bulanan bukan sekadar wadah penyampaian maklumat, malah sebagai platform untuk meraikan kepelbagaian budaya, memperkukuh semangat kenegaraan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan warga universiti.

Menerusi tema “Rasa Dunia, Jiwa Malaysia”, kepelbagaian diketengahkan sebagai kekuatan dalam membentuk komuniti UPSI yang terbuka kepada dunia dan menghargai perbezaan budaya, namun tetap berteraskan nilai, jati diri serta semangat kecintaan terhadap Malaysia.