Prof. Dr. Raja Nor Safinas (dua dari kiri) menyampaikan buku bertajuk ‘Metaphors of Practice Figurative Language in ESL Student Teachers’s Practicum Reflection’ kepada Profesor Dr. Azmi Mohamed sempena Majlis Syarahan Budiman Profesor di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.Prof. Dr. Raja Nor Safinas (dua dari kiri) menyampaikan buku bertajuk ‘Metaphors of Practice Figurative Language in ESL Student Teachers’s Practicum Reflection’ kepada Profesor Dr. Azmi Mohamed sempena Majlis Syarahan Budiman Profesor di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Oleh: Bazli Razak

TANJONG MALIM, 25 Jun – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meraikan pencapaian cemerlang tokoh akademik tersohor, Profesor Dr. Raja Nor Safinas Raja Haron daripada Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI menerusi Majlis Syarahan Budiman Profesor, baru-baru ini.

Pengarah, Jabatan Strategik UPSI, Prof Dr. Azmi Mohamed berkata, majlis ini diadakan bagi menghargai sumbangan besar beliau dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di rantau Asia Tenggara.

“Sumbangan beliau dalam bidang TESL bukan hanya tertumpu kepada pengembangan teori semata-mata, malah menjurus kepada penyelesaian cabaran sebenar bilik darjah di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Hasil kerja beliau terus mempengaruhi pendekatan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di pelbagai peringkat institusi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis tersebut yang diadakan di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Dalam syarahannya yang bertajuk ‘Transformative ESL Teacher Education: A Pathway from Engagement to Emancipation’, Prof. Dr. Raja Nor Safinas menekankan keperluan mendidik guru Bahasa Inggeris masa kini dengan pendekatan transformatif yang bukan sahaja melibatkan penglibatan aktif, tetapi juga membebaskan minda dan memperkasa guru dalam konteks pendidikan pelbagai bahasa.

Menurut beliau, Prof. Dr. Raja Nor Safinas dikenali sebagai seorang sarjana berwibawa yang gigih menjulang pendidikan berkualiti, menghasilkan penyelidikan progresif serta membimbing pelajar pascasiswazah dengan penuh dedikasi.

“Syarahan Profesor tersebut bukan sekadar penyampaian ilmu, malah turut dianggap sebagai refleksi terhadap perjalanan ilmu, dedikasi, dan impak beliau kepada masyarakat.

“Kepimpinan beliau dalam penyelidikan, penglibatan komuniti serta peranan penting sebagai penyelia pascasiswazah memberi kesan mendalam kepada ekosistem akademik UPSI,” ujar beliau.

Prof. Dr. Raja Nor Safinas ketika menyampaikan syarahan beliau bertajuk ‘Transformative ESL Teacher Education: A Pathway from Engagement to Emancipation’ sempena Majlis Syarahan Budiman Profesor di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Prof Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Syarahan Budiman Profesor di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Prof Dr. Azmi Mohamed ketika berucap merasmikan Majlis Syarahan Budiman Profesor di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Sementara itu, Dekan, FBK UPSI, Prof Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad berkata, Prof. Dr. Raja Nor Safinas telah lama dikenali sebagai tokoh sarjana yang komited dalam memajukan bidang TESL bukan sahaja melalui penyelidikan, malah juga menerusi penglibatan aktif dalam latihan guru, penerbitan akademik dan bimbingan pelajar pascasiswazah.

“Dalam konteks Malaysia dan Asia Tenggara, cabaran pengajaran Bahasa Inggeris memerlukan lebih daripada sekadar kefasihan bahasa. Ia menuntut kefahaman mendalam terhadap latar sosiobudaya, strategi pedagogi bersepadu dan penyelidikan tindakan yang berimpak tinggi,” kata beliau.

Dengan lebih dua dekad pengalaman akademik, Prof. Dr. Raja Nor Safinas telah menerbitkan pelbagai artikel dalam jurnal bereputasi, menjadi penyelia utama kepada ramai calon Sarjana dan PhD, serta dijemput sebagai penceramah utama di pelbagai persidangan antarabangsa berkaitan TESL dan pendidikan bahasa.

“Beliau bukan sahaja seorang ilmuwan, malah mentor yang telah membimbing ramai sarjana muda dan pelajar pascasiswazah dalam meneliti isu-isu pendidikan bahasa secara kritis dan berwawasan,” katanya.