Oleh: Nor Adriana Batrisyia Mohd Khairi
BACHOK – Seramai 150 pelajar yang mengambil subjek umum universiti, Kursus Integriti dan Anti-Rasuah (KIAR) menghadiri Program Syarahan Umum Integriti Siri I bertajuk “Nilai Bijaksana Bendahara Tun Perak Dalam Pembentukan Model Kepimpinan Berintegriti” yang disampaikan oleh Profesor Kesusasteraan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dr. Abdul Halim Ali.
Program yang berlangsung pada 28 Mei 2025 lalu di Dewan Serba Guna (Bilik Seminar 2), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu merupakan inisiatif pensyarah kursus, Dr. Tuan Rusmawati Raja Hassan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan integriti dalam kehidupan seharian.
Dr. Tuan Rusmawati berkata dalam usaha menyemai integriti dalam diri pelajar, terutamanya yang mengambil jurusan Pengajian Warisan di Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, maka model kepimpinan berintegriti yang paling tepat adalah Bendahara Tun Perak.
Beliau berkata ketokohan Tun Perak ini diperagakan secara terperinci dalam teks Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin. Teks ini bukan sahaja menyentuh tentang aspek sejarah politik dan sosial, tetapi juga memberi gambaran mendalam mengenai nilai kepimpinan dan integriti yang diterapkan oleh pemimpin-pemimpin pada masa itu.
“Teks ini menawarkan suatu analisis mendalam mengenai personaliti dan kepimpinan dalam kalangan tokoh-tokoh Melayu pada zaman silam. Oleh itu, penting untuk kita memahami konteks sejarah ini serta nilai-nilai yang tersemat di dalamnya, agar dapat diterapkan dalam kehidupan seharian sebagai seorang pemimpin yang berintegriti,” katanya.
Dalam syarahannya, Prof. Dr. Abdul Halim berkata sebagai seorang pentadbir yang paling kanan dalam pemerintahan, Tun Perak dilihat sebagai sebagai seorang watak terpenting yang menentukan hala tuju pemerintahan.
Katanya, pandangan dan cadangan Tun Perak atas sifatnya sebagai Bendahara, tidak pernah tidak diperkenan sultan, malah dalam konteks kekuatan ini, dapat dikatakan bahawa cakap Tun Perak adalah “cakap sultan”.

Beliau berkata nilai kebijaksanaan Tun Perak merupakan suatu perkara yang sangat penting dalam konteks untuk melihat siginifikasinya dalam pentadbiran, pemimpin dalam rumah tangga, contoh terbaik masyarakat dan ikon kepimpinan yang perlu dicontohi.
Dalam waktu persoalan integriti dalam kalangan penjawat awam dan juga pentadbir negara sering dipersoalkan aspek ketelusannya, ianya memberi suatu gambaran tentang betapa tahap integriti kepimpinan adalah suatu perkara yang sangat penting dan dinilai oleh masyarakat.
Beliau berharap program sebegini dapat dianjurkan dalam siri-siri seterusnya dengan menampilkan lebih ramai sarjana dalam bidang-bidang lain untuk memperkatakan isu integriti dari sudut pandang mereka.
Turut hadir mengikuti syarahan adalah pelajar kursus KIAR di bawah bimbingan Dr. Marwan Ismail.
