Oleh: Anees Nabila Sakinah Nazari
SELANGOR ,11 Jun 2025 – Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin (SAMTSH), Kampung Jawa Klang, Selangor telah menjadi tuan rumah bagi penganjuran Program SULAM ARABICTECH F.A.L.A.A.H, anjuran pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan pendidikan dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program ini merupakan platform kolaboratif antara universiti dan sekolah dalam menyampaikan ilmu melalui pendekatan teknologi kecerdasan buatan (AI), selari dengan perkembangan pendidikan masa kini. Objektif utama program adalah untuk memperkenalkan aplikasi-aplikasi AI dalam konteks pembelajaran Bahasa Arab yang lebih menarik, efektif dan interaktif.
Seramai 25 orang fasilitator daripada UPSI telah terlibat dalam menjayakan program ini, terdiri daripada 7 pelajar lelaki dan 18 pelajar perempuan. Manakala penyertaan daripada pihak sekolah melibatkan 51 orang pelajar Tingkatan 6 STAM, terdiri daripada 31 pelajar lelaki dan 20 pelajar perempuan.

Program bermula seawal jam 8.00 pagi dan dimulakan dengan bacaan doa serta taklimat ringkas. Seterusnya, tiga slot utama telah dijalankan:
1. Slot 1: NAPKIN AI – Pengenalan kepada alat visual persembahan AI yang membantu pelajar menyusun idea secara kreatif.
2. Slot 2: WORDWALL – Platform pembelajaran interaktif berbentuk kuiz dan permainan bahasa.
3. Slot 3: GIMKIT – Aktiviti gamifikasi yang meningkatkan penglibatan pelajar secara aktif dan menyeronokkan.
Majlis penutup diadakan dengan ucapan daripada Pengerusi Majlis, Pengarah Program, guru-guru serta wakil pelajar. Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj program, penyampaian hadiah dan sesi bergambar sebagai penutup tirai program.


Program SULAM ARABICTECH F.A.L.A.A.H ini telah berjaya dilaksanakan dengan lancar dan mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan. Ia bukan sahaja memperkasakan kemahiran pelajar dalam bidang teknologi pendidikan, malah mengukuhkan jalinan kerjasama antara UPSI dan komuniti sekolah. Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi melahirkan generasi celik teknologi dan berakhlak tinggi.
