Oleh: Nora Liza Abdul Kadir
Tanjong Malim, 17 Jun 2025- Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), dengan kerjasama bersama Teach For Malaysia (TFM), telah menganjurkan Bengkel Upskilling Bersama TFM pada 16 dan 17 Jun lalu bertempat di Bilik Kuliah Anjung 2, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Bengkel anjuran bersama Teach For Malaysia (TFM) telah berjaya menarik penyertaan seramai 84 orang pelajar daripada program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dengan Kepujian (TESL) dan Diploma Bahasa Inggeris (DipE) dari pelbagai semester. Bengkel ini menampilkan tiga orang penceramah dari TFM iaitu Najwa Bahiyyah Nor Haimi, Nadhirah Azmi dan Barbara Er yang berkongsi ilmu dan pengalaman berkaitan dunia pendidikan dan kepimpinan.
Turut membantu melancarkan perjalanan program ialah Alya Bahirah Izani, pelajar Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) yang kini menjalani Latihan Industri di TFM. Kehadiran para penceramah serta sokongan pelajar UPSI dalam bengkel ini membuktikan komitmen berterusan dalam memperkasakan kemahiran pedagogi dan profesionalisme guru masa hadapan.

Bengkel ini bukan sahaja menarik minat pelajar TESL dan Diploma Bahasa Inggeris, malah turut memberi pendedahan mendalam tentang persediaan kerjaya awal bagi bakal graduan dalam bidang pendidikan. Antara tajuk slot menarik yang diketengahkan dalam bengkel ini termasuk “Being Job-Ready: Your Career 1st Step”, “Tip: How to Ace Your Interview”, dan “Reimagine Education for Anak Malaysia”.
Menerusi slot-slot ini, peserta didedahkan kepada panduan mengisi permohonan pekerjaan yang berpotensi disenarai pendek untuk sesi temuduga, selain memahami teknik dan etika menjawab soalan temuduga secara berkesan. Penceramah turut memberi penerangan tentang persediaan diri, perkara yang sesuai dan tidak sesuai dilakukan semasa menghadiri temuduga kerja, serta teknik komunikasi yang meyakinkan.
Lebih menarik, bengkel ini turut menyentuh aspek pemahaman terhadap landskap pendidikan semasa di Malaysia dan peranan guru sebagai agen perubahan dalam mewujudkan kesaksamaan pendidikan untuk anak-anak Malaysia. Sesi “Mock Interview” yang dijalankan secara langsung bersama peserta terpilih memberi gambaran realistik tentang proses temuduga, di mana penceramah turut memberi maklum balas dan cadangan penambahbaikan secara terus kepada peserta. Pertukaran pandangan antara peserta dan penceramah di akhir sesi menambah nilai interaktif bengkel ini serta memantapkan pemahaman peserta terhadap keperluan dunia kerjaya pendidikan masa kini.

Adalah menjadi harapan agar bengkel ini telah memberikan impak positif kepada semua peserta, khususnya dalam meningkatkan keyakinan dan kesiapsiagaan mereka dalam proses permohonan pekerjaan serta menduduki temuduga. Penganjuran bengkel ini turut mencerminkan komitmen berterusan Unit Employability, Development, Graduate Empowerment (EDGE) dalam menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar UPSI untuk membina kemahiran insaniah dan profesional yang relevan.
EDGE juga akan terus merancang dan melaksanakan program-program seumpamanya sebagai usaha strategik untuk memastikan para pelajar dan graduan UPSI lebih menonjol, bersedia, dan berjaya dalam pasaran kerja setelah menamatkan pengajian.
