Oleh: Maisarah Mahmud
Bandar Behrang 2020 – Program Titian Kasih @ Komuniti Bandar Behrang 2020, anjuran pelajar kursus Kuliah Penulisan Kreatif dan Deskriptif (BSK3103), Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Masjid Al-Hidayah Bandar Behrang 2020, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kejiranan Wanita dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 pada 14 Jun lalu berjaya dilaksanakan dengan penuh semangat dan komitmen.
Program yang berlangsung di perkarangan Masjid Al-Hidayah ini menghimpunkan 279 mahasiswa kursus berkenaan bersama lebih 50 penduduk setempat serta pelajar sekolah dalam aktiviti gotong-royong mega dan kitar semula.



Penasihat Program, Prof. Madya Dr. Ghazali Din berkata objektif utama program adalah untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara institusi pendidikan dengan masyarakat, menggalakkan kerjasama dalam aktiviti kitar semula serta memupuk nilai keprihatinan, tanggungjawab sosial dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.
“Saya berasa bangga dengan komitmen mahasiswa dalam menjayakan program berimpak tinggi ini, malah menekankan kepentingan nilai prihatin terhadap alam sekitar yang harus dipupuk sejak di bangku sekolah.
Program itu menyaksikan mahasiswa menjayakan aktiviti gotong-royong Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) di tujuh zon iaitu Teratai, Melati, Kemboja, Bourgainvilla, Bunga Raya, Orkid dan Lavender.
Sempena program diadakan pertandingan kumpulan mengutip sampah terberat dan pasukan mahasiswa dari Zon Orkid dinobatkan sebagai johan dengan kutipan 28.8 kg sampah, diikuti Zon Bunga Raya (25.6 kg) dan Zon Lavender (18.8 kg).
Pengurus Divisyen Komuniti Lestari, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation, Muhd Muhtazam Noor Din berkata menerusi program itu mahasiswa disemai semangat menghargai barangan terbuang seperti botol plastic untuk dikitar semula.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Kamarul Beharim Lasa dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur kerana berjaya mengadakan program yang bukan sahaja menyemai semangat kesukarelawanan, tetapi turut memperkukuh ikatan komuniti.
Beliau berharap usaha murni ini dapat dijadikan model kolaborasi pada masa depan.



Pengerusi Masjid Al-Hidayah, Hj Shamuri Agus berkata program ini bukan sahaja meninggalkan impak positif kepada alam sekitar, tetapi juga berjaya memupuk semangat perpaduan dan kesedaran sivik dalam kalangan mahasiswa dengan komuniti.
Beliau berkata aktiviti seumpama ini diharap dapat dilaksanakan lagi sebagai agenda berterusan dalam usaha memartabatkan nilai murni dalam masyarakat.