Oleh: Ahmad Muizzuddin Safian

Kuala Lumpur, 7 Februari 2025 – Satu perjanjian kerjasama (Memorandum of Agreement, MoA) telah ditandatangani antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Northern Kuala Lumpur International College (NKLIC) di ibu negara hari ini.

MoA ini diadakan bertujuan untuk bekerjasama dengan Northern Kuala Lumpur International College (NKLIC) sebagai salah satu peluang penjanaan kepada IPS, UPSI dan fakulti terlibat dengan menawarkan program pengajian secara pesisir.

Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli, Dekan IPS, Profesor Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun dan Timbalan Dekan Kemasukan dan Pengkuliahan IPS, Profesor Madya Dr. Hartini Jaafar.

Pihak NKLIC diwakili oleh President Founder, NKL, Dr. Jimmy Lim Siau Shiong serta pengurusan tertinggi yang turut hadir di dalam majlis tersebut untuk menyempurnakan kerjasama antara kedua-dua pihak.

MoA ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan, serta membuka peluang untuk memperkasa inovasi dalam bidang kepimpinan dan pengetahuan di peringkat nasional.

Dengan adanya kerjasama dengan agensi luar sebegini, UPSI diharapkan dapat memfokuskan kepada pelaksanaan program, manakala urusan mendapatkan pelajar dan pelbagai pengurusan berkaitan dengan pelajar diuruskan oleh agensi luar.

Hal-hal yang diuruskan oleh NKLIC adalah menyediakan kemudahan pusat pembelajaran, mempromosikan program, mengurus pembiayaan, dan juga mengadakan pelbagai program sokongan bagi membantu pelajar menghabiskan program dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurut Dato’ Naib Canselor UPSI, inisiatif ini merupakan satu strategi untuk merealisasikan KPI enrolmen pelajar antarabangsa yang melibatkan semua fakulti di bawah objektif ‘Mengukuhkan Pengantarabangsaan’.

Sesi bergambar delegasi daripada UPSI dan NKLIC

Kerjasama ini juga merupakan langkah penting bagi UPSI dalam memperluaskan jaringan akademik dan penyelidikan dengan harapan agar dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak serta masyarakat umum.

Majlis bersejarah ini berlangsung dalam suasana penuh bermakna dan diakhiri dengan sesi bergambar bersama delegasi UPSI dan pihak NKLIC.