TAPAH – Mahasiswa Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggunakan seni mural sebagai medium promosi kesihatan pergigian menerusi Program Khidmat Komuniti Penghasilan Mural Klinik Pergigian Mesra Promosi, di Klinik Pergigian Daerah Batang Padang, di sini.
Program yang berlangsung pada 8 dan 9 Ogos itu dianjurkan FSKIK dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) serta Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Batang Padang.
Penghasilan mural berkenaan bertujuan menceriakan persekitaran klinik selain menyampaikan mesej penjagaan kesihatan gigi menerusi pendekatan visual yang lebih santai, menarik dan mesra komuniti, khususnya kanak-kanak.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FSKIK, Dr Mohd Fauzi Harun, berkata program seumpama itu memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran seni dalam situasi sebenar bersama komuniti.
“Saya berharap program sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan kerana penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan mampu membentuk mahasiswa yang lebih berdaya saing, kreatif, prihatin dan mempunyai nilai kesukarelawanan yang tinggi.
“Inisiatif seperti ini juga selaras dengan aspirasi UPSI untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut mampu menyumbang kepakaran dan tenaga kepada pembangunan masyarakat,” katanya.
Program itu turut memberi ruang kepada mahasiswa mengaplikasikan kemahiran dalam reka bentuk mural, komunikasi visual dan pengurusan projek melalui pengalaman pembelajaran secara langsung bersama komuniti.
Aktiviti dimulakan dengan sesi taklimat dan perbincangan bersama pihak klinik bagi mengenal pasti keperluan, konsep serta tema mural sebelum mahasiswa menghasilkan lakaran dan reka bentuk yang bersesuaian dengan ruang klinik.


Mahasiswa kemudian terlibat secara langsung dalam proses penghasilan mural merangkumi penyediaan permukaan, lakaran asas, pewarnaan dan kemasan karya.
Selain menceriakan persekitaran klinik, elemen visual yang dihasilkan turut berfungsi sebagai medium komunikasi berkaitan kepentingan penjagaan kesihatan pergigian.
Program berkenaan turut memberi peluang kepada mahasiswa berinteraksi dengan pihak klinik dan komuniti setempat, sekali gus mengembangkan kemahiran kerja berpasukan, komunikasi serta kreativiti.
FSKIK dalam kenyataan berkata program itu mencerminkan komitmen universiti memperluas peranan seni dalam pembangunan masyarakat serta memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dengan komuniti setempat.
