oleh Nur Qistina Rosdi dan Bazliah Ahmad Mahmud

Tanjong Malim, 23 September 2026 – Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-FURQAN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

Pertemuan ini menjadi platform untuk meneroka peluang kerjasama strategik dalam memperluaskan lagi akses pendidikan tinggi kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Antara yang menarik perhatian ialah cadangan pelaksanaan kursus jangka pendek bagi memperkasakan kemahiran guru Al-Quran, pembangunan modul pengajaran serta penerbitan sijil pembelajaran bersama. Kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam secara pengajian pesisir khas untuk tenaga pengajar PERTIS, dengan sasaran awal seramai 20 hingga 30 orang pelajar.

Selain itu, PERTIS turut bersedia memberikan latihan asas penguasaan Braille kepada pensyarah UPSI bagi memastikan pembelajaran lebih inklusif, kaedah pengajaran dan peperiksaan juga dibincangkan, termasuk penggunaan komputer atau komputer riba dengan perisian khas serta penyediaan jawapan dalam tulisan Braille yang boleh ditranskripsikan kepada tulisan biasa.

Sebagai langkah seterusnya, kedua-dua pihak bersetuju meneroka kerjasama formal melalui Memorandum Perjanjian (MOA) yang memperincikan skop program, implikasi kewangan dan komitmen antara kedua-dua agensi. Inisiatif ini diharapkan dapat memperluaskan membina ekosistem pendidikan inklusif dan mesra OKU penglihatan.