Oleh : Ariz Fadzli
Kolej Ungku Omar – Dalam era perkembangan sains dan teknologi yang semakin pesat, pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda yang berfikiran kritis, kreatif dan inovatif.
Sehubungan dengan itu, Exco Multimedia, Teknologi dan Inovasi Digital, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkasa inisiatif untuk memperluas akses pendidikan STEM kepada pelajar sekolah khususnya komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman Perak melalui program STEMConnect+ 1.0: Light Beneath the Roots.
Program yang berlangsung pada 9 Oktober 2026 itu bermula dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, bertempat di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kelah, Sungkai, Perak. Berteraskan tema Light Beneath the Roots, program ini memberi tumpuan kepada bidang Agro-STEM dan Electro-STEM dengan menjadikan uji kaji sains sebagai medium pembelajaran utama.
Program ini menyasarkan seramai 100 orang pelajar dan guru dari sekolah berkenaan dengan penglibatan mahasiswa dan mahasiswi UPSI sebagai fasilitator. Pelbagai aktiviti pembelajaran interaktif dan praktikal telah dirangka termasuk pengenalan kepada sistem hidroponik serta aktiviti explorace “Jom Teroka” yang memperkenalkan beberapa jenis aktiviti praktikal lain.
Program ini turut berkolaborasi dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli, Jabatan Kimia Perak, Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Pusat STEM UPSI serta Persatuan Mahasiswa Teknologi Kejuruteraan Fakulti Teknikal.
Pengetua Kolej Ungku Omar, Prof. Dr. Hj. Mohd Nizam Nasrifan dalam ucapannya menyatakan hasrat beliau dalam memperbanyakkan lagi program seperti ini dilaksanakan pada masa yang akan datang kerana ia akan memberikan impak yang besar terhadap dunia pendidikan. Beliau turut menyatakan bahawa program seperti ini akan mencungkil bakat-bakat yang terpendam dalam diri pelajar dan akan berjaya satu hari nanti.



“Saya berharap agar program ini dapat menyemai minat murid-murid terhadap bidang STEM, merangsang kreativiti serta menggalakkan pemikiran kritis dalam menyelesaikan masalah” ujar Puan Nor Azura Abu Assan Penolong Kanan SK Felda Sungai Klah. Beliau mengharapkan agar pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini memberikan manfaat dan inspirasi kepada murid-murid untuk terus meneroka ilmu pengetahuan pada masa hadapan.
“Jangan takut untuk mencuba, bertanya dan meneroka perkara baharu. Semoga pengalaman yang diperoleh dapat memberikan manfaat serta menjadi inspirasi untuk terus mengejar ilmu pada masa akan datang.” Kata Encik Khairol Najib Hashim, wakil Pegawai Khas, YB Datuk Chang Lih Kang dalam ucapan perasmian program tersebut.
Secara keseluruhannya, program STEMConnect+ 1.0: Light Beneath the Roots telah berjaya menonjolkan keberkesanannya dalam meneraju pendidikan berteraskan STEM kearah yang lebih baik. Program ini turut menjadi penanda aras bagi program-program berkaitan pendidikan STEM pada masa yang akan datang.

