Oleh: Adib Irfan Jaffri
TANJONG MALIM, 29 September 2026 – Youth Catalyst Leadersphere tampil sebagai sebuah platform pembangunan kepimpinan mahasiswa yang memberi penekanan terhadap aspek dalam Kementerian Pendidikan. Program ini memberikan pendedahan kepada beberapa pelajar asnaf yang mendapat sokongan dan berada di bawah naungan Lembaga Zakat Selangor. Program ini juga menjadi ruang untuk memperluas pengetahuan dan pengalaman peserta, di samping membantu mereka memahami kepentingan pendidikan serta peranan kepimpinan dalam membentuk potensi diri pada masa hadapan
Program yang dianjurkan oleh Majlis Tertinggi Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar dengan kerjasama Quranic Generation Team dan Lembaga Zakat Selangor ini menjadi ruang kepada pelajar untuk memperluas pengetahuan, membina jaringan kepimpinan serta memahami peranan dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin dalam komuniti kampus.
Modul Kepimpinan Berteraskan Nilai turut diperkenalkan oleh Quranic Generation Team bagi memberi peluang dan ruang kepada para pelajar untuk berinteraksi secara lebih terbuka dalam suasana yang santai dan interaktif. Pengisian yang dibawakan turut memberi penekanan terhadap kepentingan nilai, sahsiah dan jati diri dalam membentuk kepimpinan yang baik.
Mengangkat nilai keprihatinan dan tanggungjawab sosial, Slot Literasi Pengurusan Zakat dan Tanggungjawab Sosial bersama Lembaga Zakat Selangor turut menjadi antara pengisian yang mencuri perhatian para peserta. Menerusi slot ini, para pelajar diperkenalkan dengan peranan serta pengurusan zakat, di samping didedahkan kepada kepentingan tanggungjawab sosial dalam membentuk generasi muda yang lebih prihatin terhadap komuniti.
Melalui Slot Inspirasi Pendidikan ini, ianya membuka ruang kepada para pelajar untuk mendapatkan perkongsian secara langsung daripada mahasiswa UPSI daripada pelbagai latar belakang dan bidang pengajian. Perkongsian pengalaman daripada mahasiswa dalam bidang yang berbeza turut memberi gambaran kepada para pelajar tentang kepelbagaian pilihan pengajian dan kehidupan di alam kampus, sekali gus membina keyakinan mereka untuk berani memasang impian dan merancang perjalanan pendidikan masing-masing.



Melengkapkan pengisian program, Slot Ekspedisi Sekitar UPSI turut memberi peluang kepada para peserta meneroka suasana kampus serta mengenali dengan lebih dekat persekitaran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Menerusi aktiviti ini, para pelajar dapat merasai sendiri pengalaman berada di alam universiti sekali gus menjadikan pengalaman mereka lebih bermakna.
Secara keseluruhannya, Youth Catalyst Leadersphere diharapkan dapat membentuk generasi muda yang berilmu, berkeyakinan dan berjiwa pemimpin. Semoga pengalaman yang diperoleh menjadi pemangkin kepada para peserta untuk terus mengejar cita-cita serta membina masa depan yang lebih cemerlang melalui pendidikan.

