oleh: Fatin Nabila Mohd Faizal
TANJONG MALIM, 3 Oktober 2026 – Menyambut ketibaan warga baharu sidang 2026/2027, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), UPSI terus mekar dengan tradisi tahunannya menerusi penganjuran program perjumpaan felo. Bertemakan ukhuwah dan keterbukaan, sesi suai kenal ini menghubungkan para penghuni blok secara terus dengan barisan felo serta jawatankuasa kediaman demi mewujudkan persekitaran kolej yang harmoni dan inklusif.
Program perjumpaan felo ini dianjurkan secara bersama oleh barisan Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) yang juga bertindak sebagai Exco Blok bagi Blok 1 iaitu Astrelix dan Blok 2 iaitu Aurellia. Penganjuran kolaboratif ini dilaksanakan bagi memperkasakan kepimpinan mahasiswa serta memastikan pengurusan program berjalan dengan lebih teratur dan berkesan bagi seluruh penghuni kedua-dua blok berkenaan.
Tujuan utama program perjumpaan felo ini dilakukan adalah untuk membantu mahasiswa menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus, program ini turut memberi pendedahan awal mengenai fasiliti kolej, saluran aduan dan keselamatan, serta peraturan kediaman demi mewujudkan persekitaran kolej yang selamat, kondusif, dan harmoni.
Sambutan luar biasa diterima apabila Dewan Kolej Harun Aminurrashid dibanjiri lebih 500 orang penghuni yang hadir memberikan sokongan padu sekali gus menjayakan penganjuran program ini. Pertemuan beramai-ramai ini membuka ruang untuk penghuni antara aras dan bilik saling mengenali. Ini membina ikatan kejiranan yang sihat, sekali gus memudahkan mereka untuk saling bantu-membantu sepanjang menetap di kolej.



Felo Blok 1, Cik Ainnur Shazleen Aqilla binti Sha’azman, dalam ucapannya menyatakan bahawa had masa untuk semua penghuni berada di luar bilik adalah tidak melebihi 12:00 tengah malam. Peraturan ini ditegaskan agar keselamatan semua penghuni sentiasa terjaga dan terpelihara.
Sementara itu, Pembantu Felo Blok Kediaman 2, Encik Abbas Ali bin Iftikhar Hussain, turut menjelaskan berkenaan penggunaan dapur siswa di Blok 4. Beliau memaklumkan bahawa semua bahan di dalam dapur tersebut boleh digunakan oleh penghuni yang telah membuat tempahan mengikut slot masa yang ditetapkan.
Bagi meneruskan agenda program, Pengarah Program Perjumpaan Felo, Nur Shahirah binti Omar, bersama Pengarah Program Bersama, Nurfatiesha binti Zamree, mengambil pentas bagi memperkenalkan barisan Ahli Jawatankuasa Blok Kediaman masing-masing. Barisan kepimpinan ini merupakan nadi penggerak utama yang menggalas tanggungjawab penting dalam memastikan kebajikan, keselesaan, dan kesejahteraan seluruh warga Blok Astrelix dan Blok Aurellia sentiasa diutamakan.
Lebih daripada sekadar sesi suai kenal, perjumpaan felo adalah titik permulaan bagi pembentukan komuniti Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) yang mesra dan bersatu padu. Semoga usaha ini berterusan dalam melahirkan mahasiswa UPSI yang holistik, berdisiplin, dan cemerlang di dalam mahupun di luar bilik kuliah.
