Majlis penutupan disempurnakan oleh Setiausaha UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Arif Yusa
Oleh: Muhammad Nabil Fahmy Jasman & Nur Hazimah Mazlan
MELAKA, 22 Disember 2024– Program Jaulah Muhibbah: Jalinan Kasih, inisiatif kemasyarakatan berkonsepkan anak angkat, berjaya mengeratkan hubungan antara mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan penduduk Kampung Bukit Durian, Melaka. Program ini membuka peluang kepada peserta untuk merasai pengalaman sebagai anak angkat kepada keluarga kampung, seterusnya memperkukuhkan silaturahim antara universiti dan masyarakat desa.
Program selama tiga hari dua malam, yang berlangsung dari 20 hingga 22 Disember dianjurkan oleh Kelab Sahabat Ulul Albab UPSI dengan kerjasama Pusat Ulul Albab, serta sokongan penuh daripada JPKK Bukit Durian, Masjid Al Mukmin, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau.

Pelbagai aktiviti memberi impak positif disertai oleh 24 mahasiswa UPSI bersama 10 keluarga angkat, program ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk ceramah agama, kem cuti sekolah untuk kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan percuma, demonstrasi kebakaran, dan gotong-royong bersama komuniti. Kesemua program ini berjaya menyumbang kepada pembangunan komuniti Kampung Bukit Durian, di samping membina hubungan harmoni antara penduduk dan mahasiswa.

Perasmian dan aktiviti hari pertama program dimulakan dengan perasmian oleh Penghulu DUN Ayer Molek, Ruslan Yusof disusuli dengan sesi penyerahan anak angkat yang disempurnakan oleh Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh. Pada sebelah petang, peserta berpeluang menyaksikan penyediaan Nasi Ambeng, hidangan tradisional masyarakat Jawa, yang turut mengukuhkan semangat kekeluargaan. Pada sebelah malamnya, lebih 300 jemaah hadir ke Ceramah Perdana bertajuk ‘Membangun Baiti Jannati’ oleh Al-Fadhil Ustaz Yassir Atiqurrahman di Masjid Al Mukmin.






Hari Kedua yang penuh aktiviti bermakna dengan senaman Taichi diikuti dengan Genius Aulad Camp, kem cuti sekolah yang merangkumi modul Smart Solat, Smart Quran, dan Explorace Genius Aulad yang disertai oleh 70 pelajar sekolah rendah dan menengah. Selain itu, pemeriksaan kesihatan percuma oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan demonstrasi kebakaran oleh Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau turut menarik perhatian penduduk kampung.

Program diakhiri dengan aktiviti gotong-royong bersama penduduk, termasuk pembinaan menara tanda mercu di Balai Raya Kampung Bukit Durian dan penyerahan sumbangan kerusi batu oleh Pusat Ulul Albab hasil dana sumbangan pelajar UPSI. Majlis penutupan menyaksikan ucapan penuh bermakna daripada wakil anak angkat, keluarga angkat dan Setiausaha UMNO Cawangan Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Arif Yusa yang mengiktiraf kejayaan program ini dalam memperkukuhkan jalinan kasih antara mahasiswa UPSI dan komuniti.
Program Jaulah Muhibbah: Jalinan Kasih tidak hanya berjaya membentuk hubungan akrab antara mahasiswa UPSI dan keluarga angkat tetapi turut merapatkan jurang antara universiti dan masyarakat melalui pelbagai aktiviti bermanfaat. Program ini membuktikan usaha berterusan UPSI dalam melahirkan mahasiswa yang cakna terhadap masyarakat, sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan peribadi dan profesional mereka. Semoga program seperti ini terus dianjurkan untuk manfaat bersama.
