Oleh: Fayyadhatul Alyaa Ahmad Misnun & Che Noor Hawa Che Ismail
Tanjong Malim, 7 Februari 2025– Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Bahagian Sumber Manusia (BSM) menganjurkan program “New Year Reset: Positive Mindset & New Target for 2025” bertempat di Bilik Latihan Utama, Blok C, KSAJS. Program ini disertai oleh 43 orang kakitangan UPSI untuk meningkatkan motivasi dan menetapkan hala tuju kerjaya yang lebih produktif sepanjang tahun 2025.
Program ini bukan sahaja bertujuan untuk memperkenalkan pengarah baharu Pusat Kaunseling UPSI, Dr. Nurul Hasyimah Mat Rani, tetapi juga memberi penekanan terhadap 4 fokus utama iaitu refleksi pencapaian tahun 2024, target 2025, motivasi dalam diri dan menyelarikan pencapaian staf melalui nilai bitara dan aspirasi UPSI 2025.

“Penerapan nilai bitara untuk menjadikan kita UPSI termasuk dalam ranking 100 universiti pada tahun 2030 untuk pencapaian,” kata Dr. Nurul Hasyimah. Melalui program ini kakitangan dapat mengetahui teknik penetapan matlamat dan azam sebagai pemangkin motivasi dalam perkhidmatan. Selain itu, peserta diajar untuk menetapkan sasaran kerja yang lebih jelas supaya dapat memberikan impak positif terhadap perkembangan kerjaya masing-masing.
Tambahan pula,program ini memberikan pendedahan mengenai teknik kawalan emosi dalam tempoh perkhidmatan yang turut ditekankan bagi memastikan kesejahteraan mental dan emosi para peserta. Dengan memahami dan mengaplikasikan teknik ini, kakitangan dapat menangani tekanan kerja dengan lebih berkesan serta mengekalkan prestasi yang cemerlang dalam organisasi. Peserta juga diberikan peluang untuk mengaplikasikan kemahiran dan teknik pengurusan tugas yang diperoleh dalam program ini. Mereka dilatih untuk merancang dan menjalankan perincian tugas secara sistematik, memastikan keberkesanan dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Sepanjang sesi, penceramah berkongsi pencapaian diri sepanjang tahun 2024 dan menyusun strategi bagi meningkatkan perkembangan diri pada tahun 2025. Perbincangan mengenai keseimbangan antara kerja dan kehidupan (Work-Life Balance) menjadi salah satu topik yang memberikan impak besar kepada peserta dalam usaha meningkatkan motivasi diri dan kesejahteraan mental.
Menurut Bahagian Sumber Manusia (BSM), program ini telah menerima lebih 100 permohonan penyertaan, namun jumlah peserta perlu dihadkan bagi memastikan keselesaan dalam sesi yang dijalankan. Rata-rata peserta menyatakan kepuasan dan keseronokan menyertai program ini kerana mereka memperoleh input berguna yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.


Peserta turut mencadangkan agar program ini diperluaskan kepada sesi yang lebih panjang (sehari penuh atau lebih lama) untuk memberi lebih banyak ruang kepada latihan praktikal dan diskusi yang lebih mendalam.
Program “New Year Reset: Positive Mindset & New Target for 2025” ini membuktikan komitmen UPSI dalam memastikan kesejahteraan mental, motivasi, serta produktiviti kakitangan sentiasa berada pada tahap terbaik, sejajar dengan visi universiti dalam membentuk tenaga kerja yang cemerlang dan dinamik.
