Oleh: Fatin Athirah Pathe Mohammad She’leh

Tanjong Malim, 21 Februari 2025 – Lajnah Helwi telah menganjurkan program How to Be a Better Muslimah in 2025 secara siaran langsung di Instagram (Live IG Helwi Amc) di bawah anjuran Kelab Al-Mursyidin, dengan kerjasama Pusat Islam, Gagasan Islam UPSI, serta beberapa persatuan luar.

Program ini bertujuan menyedarkan Muslimah tentang kepentingan meningkatkan diri dalam aspek agama, akademik, dan kehidupan seharian selari dengan tuntutan Islam

Program dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah yang dipimpin oleh moderator, Fatin Athirah selaku Pengarah Program dan Raisah Lajnah Helwi Sidang 2024/2025.

Sesi beramah mesra turut diadakan bagi mengeratkan hubungan antara peserta dan panel utama dalam talian, iaitu Naib Yang Dipertua Kelab Al-Mursyidin sidang 2024/2025, Nur Atirah Hassan.

Dalam sesi perkongsian, panel menekankan kepentingan usaha berterusan dalam memperbaiki akhlak dan menuntut ilmu, bukan hanya untuk kecemerlangan akademik tetapi juga dalam membentuk keperibadian Muslimah sejati.

Beliau turut mengingatkan peranan Muslimah dalam menjaga hubungan dengan Allah, keluarga, dan masyarakat serta bagaimana mereka dapat memberi manfaat kepada ummah.

Sesi menjadi lebih interaktif dengan slot soal jawab, di mana peserta mengajukan persoalan di ruangan komen mengenai cabaran dalam mengekalkan istiqamah dalam ibadah serta cara mengimbangi tuntutan dunia dan akhirat.

Program diakhiri dengan sesi penggulungan, sebelum ditutup dengan sesi fotografi sebagai kenangan.

Kami berharap program ini menjadi inspirasi dan dorongan kepada semua peserta untuk terus berusaha memperbaiki diri sebagai Muslimah yang lebih baik, bukan hanya pada tahun 2025 tetapi sepanjang kehidupan mereka. Semoga segala usaha ini diberkati dan membawa kebaikan kepada ummah.