Tanjung Malim– Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperoleh kutipan dana hampir RM7 juta bagi tahun 2024 hasil sumbangan pelbagai pihak dalam kalangan kakitangan, orang awam dan badan korporat.

Menurut Pengarah WEZAS, Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif, jumlah keseluruhan dana yang dikumpulkan adalah sebanyak RM6,965,436.97.

Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif

Jumlah berkenaan merangkumi lima kategori dana iaitu wakaf (RM2,918,790.10), endowmen (RM205,100.00), zakat (RM3,558,113.10), khairat (RM85,665.00), dan sedekah (RM197,768.77).

Pihak WEZAS UPSI, katanya, menyifatkan kejayaan ini mencerminkan keperihatinan warga UPSI, alumni UPSI, masyarakat awam dan badan korporat dalam menyokong usaha kebajikan dan pembangunan pendidikan berasaskan filantropi di UPSI.

“WEZAS merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menyokong program kebajikan dan pembangunan pendidikan ini.

Pejabat WEZAS di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Beliau berkata sumbangan ini akan digunakan untuk membantu warga UPSI yang terdiri daripada pelajar dan staf yang memerlukan, menyokong pembangunan infrastruktur wakaf pendidikan, serta memberi manfaat kepada golongan asnaf dan komuniti luar yang ditimpa musibah.

“Pihak WEZAS turut mendoakan agar semua penyumbang dikurniakan kesihatan yang baik, dilimpahkan rezeki, serta memperoleh ganjaran pahala yang berterusan sebagaimana Firman Allah :

“Apa sahaja harta yang kamu infakkan maka Allah S.W.T pasti akan menggantikannya, dan Dia adalah sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah Saba’ : 39)

Orang ramai yang ingin menyumbang atau mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web rasmi https://wezas.upsi.edu.my.