Oleh: Bazli Razak
TANJUNG MALIM, 18 Februari 2025 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited dalam melahirkan mahasiswa berdaya saing dan berwibawa menerusi penganjuran Majlis Anugerah Keterampilan Pelajar UPSI 2024, yang berlangsung dengan penuh gemilang di sini, baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin, berkata bahawa program itu bukan sekadar pengiktirafan, malah berfungsi sebagai platform utama dalam membangunkan bakat kepimpinan serta sahsiah dalam kalangan mahasiswa.
“Sebanyak 64 permohonan diterima bagi 12 kategori anugerah yang dipertandingkan tahun ini, mencerminkan semangat tinggi pelajar dalam menyerlahkan kebolehan masing-masing.

Menurut beliau, penghargaan ini bukan hanya untuk pelajar, malah merupakan satu peluang bagi seluruh warga UPSI memanfaatkan setiap inisiatif yang ditawarkan, termasuk yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), bagi memperkukuh reputasi institusi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Tambah beliau, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum di luar bilik kuliah bagi membentuk mahasiswa yang holistik adalah penting selaras dengan agenda pemerkasaan mahasiswa oleh KPT.
“Penyertaan dalam kelab dan persatuan membolehkan pelajar mendalami minat dan bakat mereka, selain menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta mengasah kemahiran kepimpinan.
Beliau turut menyeru mahasiswa agar keluar dari zon selesa dan terus mencari ruang untuk mengembangkan potensi diri.

“Saya percaya dengan bimbingan dan sokongan berterusan daripada pensyarah serta pihak pengurusan universiti, kita dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki daya kepimpinan tinggi dan kesedaran terhadap pembangunan masyarakat serta negara.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan majlis berkenaan bertempat di Hotel Pearl, Kuala Lumpur yang dihadiri oleh seramai 205 mahasiswa dan 35 orang kakitangan UPSI.
Tambah beliau lagi, program seperti ini amat penting dalam membentuk mahasiswa yang lebih dinamik dan berdaya saing.

“Kita mahu melihat mahasiswa UPSI bukan hanya berjaya di dalam kelas, tetapi juga berperanan sebagai pemimpin dan individu yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.
“Oleh itu, kami amat menggalakkan penyertaan dalam program-program pembangunan diri yang ditawarkan oleh universiti dan KPT.
Tegas beliau, UPSI akan terus memperkasa program seumpama ini bagi memastikan lebih ramai mahasiswa mendapat pengiktirafan yang selayaknya.
“Kita berharap majlis ini dapat menjadi pemangkin kepada mahasiswa untuk terus meningkatkan daya kepimpinan mereka, seterusnya menjadi pemimpin masa depan yang berkaliber,” ujar beliau.

Antara kategori Anugerah Keterampilan Pelajar yang dipertandingkan adalah Anugerah Perdana Naib Canselor yang telah dimenangi oleh Ng Zhen Fan Shankar dan Anugerah Kelab/Persatuan Terbaik dimenangi oleh Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS).
Turut hadir Bendahari UPSI, En. Mohamad Najib Mohamed; Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Izwan Shahril; Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPSI, Pn. Maskana Ahmad
