Tanjung Malim – Kecekalan dan dedikasi dalam kepimpinan mahasiswa melayakkan seorang bekas pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris iaitu saudara Ng Zhen Fan Shankar, Pelajar Ijazah sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian untuk menerima Anugerah Perdana Naib Canselor (APNC) dan Anugerah Pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar UPSI 2024

Sepanjang empat tahun dalam MPP, beliau bukan sahaja berperanan sebagai suara mahasiswa, tetapi juga terlibat dalam pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan pelajar. “Kepimpinan bukan sekadar gelaran, tetapi amanah yang menuntut keikhlasan, pengorbanan, dan keberanian,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada UPSI yang telah menyediakan ruang dan peluang untuk mahasiswa berkembang dalam pelbagai aspek. “UPSI bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi medan untuk membentuk jati diri, kepimpinan, dan semangat berbakti kepada masyarakat.”

Beliau juga mengakui perjalanan sebagai mahasiswa penuh dengan cabaran, namun dengan sokongan pensyarah, rakan seperjuangan, dan keluarga, segala dugaan berjaya diharungi. Anugerah ini bukan hanya milik saya, tetapi hasil usaha bersama yang telah membentuk saya menjadi mahasiswa yang lebih matang dan bertanggungjawab. Saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk berkhidmat dan belajar di institusi yang sentiasa menyokong pembangunan mahasiswa, tambahnya.

Menurutnya, penglibatan dalam pelbagai aktiviti sepanjang pengajian bukan sahaja memberi pengalaman berharga, malah membantunya mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan pengurusan masa. “Ilmu di bilik kuliah penting, tetapi pengalaman di luar kelas yang benar-benar mengajar kita tentang realiti kehidupan.”

Sebagai penutup, beliau menyeru semua mahasiswa untuk terus aktif dan berani menyahut cabaran. “Jadilah mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mempunyai nilai kepimpinan dan kesedaran sosial. Setiap usaha yang kita lakukan hari ini pasti memberi manfaat kepada masa depan,” katanya dengan penuh semangat.

Beliau turut berharap agar kepimpinan mahasiswa seterusnya akan terus memperjuangkan hak pelajar dengan dedikasi dan penuh tanggungjawab kerana “Legasi kepimpinan harus diteruskan, bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dijunjung dengan penuh amanah. Perjuangan ini tidak boleh terhenti di sini,” tegasnya.