Tanjong Malim, 12 Februari – Kira-kira 900 pelajar UPSI menikmati juadah secara hidangan dalam dulang(talam) di Masjid Al- Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI. Pengalaman makan di dalam dulang ini adalah satu pengalaman yang dinanti-nantikan oleh pelajar kerana makan bersama-sama rakan dalam satu dulang mampu memberi pengalaman baharu dan meningkatkan kemesraan serta ukhuwah sesama peserta program.

Penyediaan makanan secara gotong-royong yang bermula seawal jam 7.30 ini siap awal daripada jangkaan berkat kerjasama semua sukarelawan membolehkan jamuan dimulakan jam 11.30 pagi.

Timbalan Pendaftar Kanan, BHEP Puan Hajjah Maskana Binti Haji Ahmad hadir dan bersama-sama sukarelawan dalam menyediakan perincian bahan mentah masakan seperti memotong bawang, sayur-sayuran, membersihkan ayam dan memasak.

Kakitangan BHEP, FBK, MPP dan sukarelawan pelajar memulakan persediaan seawal jam 7.30 pagi.

Walaupun pelajar yang masih berada di kampus berkurangan namun kemeriahan jamuan dapat dilihat melalui pentertaan dan kehadiran penuh kira-kira 900 orang di ruang jamuan. Peserta juga terdiri daripada pelajar dan kakitangan pelbagai agama dan bangsa termasuklah pensyarah antarabangsa dari negara Mesir yang bertugas di FBK.

Pelajar daripada Etnik Sabah dan Sarawak serta pelajar berbangsa India juga turut memeriahkan jamuan Program Dapur Kasih Bitara.

Dapur Kasih Bitara Siri-4 ini adalah anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta sukarelawan pelajar. Program kali ini berfokus kepada pelajar program Diploma dan pelajar program Ijazah Sarjana Muda yang sedang menjalani minggu peperiksaan Semester 1 Sesi 2024/2025.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) FBK Dr. Amir bersama Profesor Dr Halim Ali, Dr Sayed Makki, Dr. Ghazali Din serta pelajar sedang menikmati juadah dalam dulang.