Oleh: Prof. Madya Dr. Norwaliza Abdul Wahab
Pada 14 Januari 2025, satu lawatan bermakna telah diadakan ke Pusat Komuniti Orang Asli di Kg Sebir dan Kg Tekir, Labu, Negeri Sembilan. Lawatan ini merupakan susulan kepada Bengkel “Module Development in Relation to the Orang Asli Learning and Teaching Skills Development Programme for Community Learning Centre Teachers” yang telah berlangsung dengan jayanya pada awal bulan Disember 2024.
Lawatan tersebut bertujuan untuk menjalankan temu bual dan pemerhatian terhadap pelaksanaan aktiviti pembelajaran di kedua-dua pusat komuniti ini. Fokus utama adalah untuk meninjau usaha dan pendekatan yang diambil dalam mendidik murid-murid Orang Asli daripada suku kaum Temuan. Program ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Norwaliza Abdul Wahab dan disertai oleh tiga pakar lain, iaitu Prof. Madya Dr. Azizah Zain, Prof. Madya Dr. Siti Rahaimah Ali, dan Dr. Jamilah Mohd Bashir. Turut hadir adalah wakil dari Yu Cai Foundation dan Yayasan DayaDiri, yang memainkan peranan penting dalam usahasama bersama komuniti ini.

Para pensyarah bersama guru di Pusat Komuniti Kg Sebir
Sewaktu lawatan, para pensyarah telah disambut dengan baik dan mesra serta dialu-alukan dengan persembahan tradisional seperti nyanyian lagu Temuan dan tarian sewang. Sambutan yang diberikan menggambarkan keunikan budaya masyarakat Temuan serta kehangatan penerimaan mereka terhadap usaha meningkatkan pendidikan komuniti. Malah, para pensyarah turut sama memainkan alat muzik yang diperbuat daripada buluh dan menari bersama-sama dengan masyarakat setempat. Aktiviti ini bukan sahaja menyerikan majlis tetapi juga membantu mewujudkan perhubungan yang mesra dan saling menghormati antara kedua-dua pihak. Selain itu, para pensyarah turut menyumbangkan alat tulis dan makanan kepada pusat komuniti sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap usaha mereka dalam mendidik anak-anak Orang Asli.
Lawatan ini mendapati tenaga pengajar di kedua-dua pusat komuniti, iaitu Puan Asmah dan Puan Emilia di Pusat Komuniti Kg Sebir dan Puan Rindu di Pusat Komuniti Kg Tekir, menunjukkan komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam mendidik anak-anak Orang Asli. Kedua-dua pendidik ini bukan sahaja prihatin terhadap pendidikan formal tetapi juga memberi penekanan kepada pembangunan nilai-nilai murni seperti disiplin, tanggungjawab, dan kebanggaan terhadap identiti budaya mereka. Keupayaan mereka untuk mengadaptasi kaedah pengajaran mengikut keperluan murid menunjukkan kefahaman mendalam terhadap cabaran komuniti setempat.

Bersama wakil dari Yayasan, pensyarah, guru dan murid di Kg Tekir
Namun begitu, hasil pemerhatian juga mendapati terdapat beberapa cabaran yang memerlukan perhatian segera. Antaranya ialah kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai: Kebanyakan bahan yang tersedia kurang relevan dengan latar belakang budaya dan pengalaman hidup murid-murid Orang Asli. Kekurangan ini boleh menyebabkan jurang kefahaman yang besar antara isi kandungan pembelajaran dan realiti kehidupan mereka. Penyediaan bahan yang bersifat kontekstual dan berbentuk visual dapat membantu meningkatkan minat dan pemahaman murid.
Kapasiti infrastruktur: Kemudahan di pusat komuniti sudah tersedia tetapi masih boleh dipertingkatkan untuk memberi keselesaan yang lebih baik kepada murid-murid dan tenaga pengajar. Ruang pembelajaran dapat diperluaskan dan kelengkapan seperti meja, kerusi, dan alat bantu mengajar boleh ditambah baik lagi. Penambahbaikan ini akan membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan menyenangkan.

Sumbangan berupa alatulis kepada guru pusat Komuniti Kg Sebir
Motivasi murid: Murid-murid yang kurang motivasi sering kali menunjukkan sikap pasif dalam pembelajaran, terutamanya dalam subjek seperti membaca dan menulis. Faktor ini mungkin berpunca daripada kesukaran mereka untuk melihat relevansi pelajaran tersebut dengan kehidupan harian. Aktiviti pembelajaran yang lebih interaktif, seperti permainan bahasa dan projek kumpulan, boleh diperkenalkan untuk meningkatkan penglibatan mereka.
Selain itu, hasil daripada perbincangan dengan tenaga pengajar pusat komuniti menunjukkan perlunya kerjasama erat dengan ibu bapa, pihak sekolah, dan masyarakat sekitar. Usaha ini penting untuk menggalakkan lagi kehadiran murid ke sekolah serta membantu mereka mendapat pendidikan yang lebih sempurna. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, ramai murid sekolah rendah enggan melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah atas sebab rasa rendah diri, pengalaman dibuli, dan faktor kewangan. Tetapi, semasa lawatan diperhatikan terdapat pelajar yang menunjukkan kesanggupan mereka untuk memikul lebih banyak tanggungjawab apabila mereka diberi tugasan, contohnya untuk menjadi ketua darjah. Oleh itu, kerjasama ini dapat menjadi langkah penting untuk mengatasi cabaran ini dan memastikan murid-murid mendapat peluang pendidikan yang setara. Sebagai langkah susulan, satu pelan tindakan akan dirangka untuk memperkukuhkan keberkesanan program pendidikan di pusat komuniti ini. Antara cadangan yang dikemukakan ialah:
Penyediaan modul pengajaran yang mengintegrasikan elemen budaya Temuan: Modul ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan pemahaman murid terhadap isi pelajaran tetapi juga untuk memupuk rasa bangga terhadap warisan budaya mereka. Aktiviti seperti bercerita mengenai sejarah dan adat resam suku kaum Temuan boleh dimasukkan dalam modul ini. Latihan intensif untuk guru-guru komuniti: Guru-guru perlu dilatih untuk menguasai kaedah pengajaran yang inovatif dan berkesan, termasuk penggunaan teknologi sederhana seperti video pembelajaran untuk menarik minat murid. Latihan ini juga boleh meliputi aspek pengurusan kelas yang lebih dinamik.

Perbincangan bersama wakil dari Yayasan, pensyarah dan guru pusat komunti
Kerjasama strategik dengan badan-badan sokongan dengan memperkukuh hubungan bersama organisasi seperti Yu Cai Foundation dan Yayasan DayaDiri, sokongan dari segi sumber kewangan, bahan pengajaran, dan kepakaran boleh diperoleh untuk menyokong program ini. Selain itu, usahasama ini juga dapat memastikan kesinambungan dan perkembangan program pada masa hadapan. Namun begitu, perlu dipastikan supaya masyarakat Orang Asli juga mampu berdikari pada masa akan datang.
Hasil daripada lawatan ini juga memberi gambaran yang lebih tepat untuk Bengkel Pembangunan Modul fasa kedua yang akan diadakan pada bulan April 2025 nanti di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Input yang diperoleh dari temu bual dan pemerhatian ini akan menjadi asas kepada pembentukan modul yang lebih holistik dan sesuai dengan keperluan komuniti Orang Asli.

Sebilangan murid-murid Orang Asli Kg Sebir di dalam kelas
Lawatan ini telah membuka ruang untuk memahami keperluan sebenar komuniti Orang Asli dalam pendidikan. Komitmen daripada semua pihak yang terlibat, termasuk para pendidik, institusi pendidikan tinggi, dan yayasan-yayasan, diharapkan dapat membawa perubahan positif dalam memastikan pendidikan yang inklusif dan berkesan untuk murid-murid Orang Asli. Semasa lawatan tersebut, guru-guru CLC telah mengetengahkan bengkel dan lawatan oleh wakil UPSI telah menyemai keyakinan guru-guru. Semoga usahasama ini dapat memberi impak yang berterusan dalam memperkasakan pendidikan komuniti Orang Asli dan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.