Oleh: FENDI KAMILIS

Tanjung Malim, 19 Februari 2024 – Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) telah mencipta sejarah apabila berjaya merangkul tiga anugerah berprestij dalam Anugerah Keterampilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2024.

Kejayaan ini mengukuhkan reputasi IKSAS sebagai sebuah persatuan anak negeri yang cemerlang di UPSI.

IKSAS menerima pengiktirafan dalam tiga kategori iaitu Anugerah Kepimpinan Sukarelawan, Anugerah Kepimpinan Kelab/Persatuan, dan Anugerah Kelab/Persatuan Terbaik.

Pencapaian ini membuktikan keunggulan persatuan tersebut dalam membangunkan pelajar yang bukan sahaja mahir dalam akademik, tetapi juga berdaya saing dalam kepimpinan serta inovasi.

Menurut Penasihat IKSAS, Dr. Yunus Sauman, pencapaian ini adalah hasil dedikasi tenaga serta komitmen tinggi Majlis tertinggi, Exco dan Rexco IKSAS Sidang 2023/2024.

“Kami amat berbangga dengan kejayaan ini. Ia adalah bukti bahawa pendidikan yang holistik dan seimbang mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam pelbagai aspek. Kami akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi kecemerlangan IKSAS pada masa hadapan,” katanya.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, turut sentiasa mengingatkan kepada pelajar UPSi agar sentiasa mencari peluang dan menjadi mahasiswa yang bukan hanya kuliah kemudian tidur di rumah. Prof. Dato sentiasa mahukan pelajar UPSI menerapkan akhlak dan adab yang baik sebagai seorang mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin, dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah atas kejayaan semua calon.

“Kecemerlangan para pelajar membuktikan bahawa pelajar UPSI bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, tetapi juga dalam aspek kepimpinan, inovasi, dan keterampilan diri.” katanya.

Prof Dr. turut mengingatkan kepada para pelajar UPSI agar tidak melupakan usaha yang dilakukan oleh orang sekeliling dan sentiasa ingat pada asal usul.

Majlis Anugerah Keterampilan Pelajar UPSI 2024 berlangsung dengan meriah di The Pearl Hotel, Kuala Lumpur dengan kehadiran para pensyarah dan pelajar.

Penganugerahan ini diadakan setiap tahun bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar serta institusi dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinani, kesukarelawanan, sukan, dan kebudayaan.

Dengan kejayaan ini, IKSAS berazam untuk terus memainkan peranan dalam melahirkan lebih ramai pemimpin berwibawa. Persatuan ini juga merancang untuk memperluaskan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan lagi impaknya dalam dunia akademik mahupun kepimpinan.