Oleh: Intan Farahana Abdul Rani

Bukit Jalil, 21 Februari 2025 – Majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan MIMOS Berhad telah berlangsung dengan penuh gemilang di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

Majlis ini merupakan langkah strategik untuk memperkukuhkan kerjasama antara institusi akademik dan industri, khususnya dalam bidang pendidikan dan teknologi.

Dalam sesi pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman, majlis ini telah menyaksikan kehadiran imbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar yang mewakili UPSI dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Berhad, Dr. Saat Shukri Embong.

Turut hadir sebagai tetamu khas bagi menyokong usaha ini ialah Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail yang merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Perjanjian ini bertujuan membuka lebih banyak peluang dalam bidang penyelidikan dan inovasi teknologi pendidikan, khususnya dalam membangunkan kaedah pembelajaran berasaskan STEM yang merangkumi sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik untuk kanak-kanak.

Kerjasama ini dijangka memberi impak besar kepada dunia pendidikan tinggi serta menyumbang kepada pembangunan modal insan yang celik teknologi.

UPSI melalui Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak (NCDRC) memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan kurikulum berasaskan STEM di peringkat awal kanak-kanak dapat diterapkan secara menyeluruh.

Dalam majlis ini, NCDRC diwakili oleh Timbalan Pengarah (Akademik dan Perkembangan Kanak-kanak), Dr. Masayu Dzainudin, Penyelaras (Penerbitan, Jaringan Industri dan Komuniti), NCDRC, Dr. Intan Farahana,

Selain itu, Pensyarah Kanan dari Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Prof. Madya Dr. Raja Noor Farah Azura Raja Ma’amor Shah yang terlibat secara langsung dalam Kursus Wise Start @ MIMOS turut hadir dalam majlis ini.

Beliau juga telah membangunkan modul dan kit bagi pendekatan bertema yang menuju kepada pembelajaran berasaskan projek atau Project-Based Learning (PBL) yang akan digunakan oleh MIMOS dalam merealisasikan pendidikan STEM di peringkat awal kanak-kanak kelak.

Dengan termeterainya perjanjian ini, MIMOS dan UPSI komited untuk membangunkan lebih banyak inisiatif yang dapat memanfaatkan tenaga pengajar, penyelidik serta pelajar dalam memperkasakan literasi STEM di Malaysia.

Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (Mou) Diantara UPSI Dan Mimos Berhad

Penggunaan modul dan kit STEM yang dibangunkan oleh UPSI diharapkan dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan berkesan kepada kanak-kanak.

Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan peranan UPSI sebagai peneraju pendidikan tinggi dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, tetapi juga memperluaskan jangkauan teknologi dan inovasi dalam pembelajaran STEM.

Majlis ini menandakan permulaan kepada pelbagai projek penyelidikan dan pembangunan yang bakal memberikan manfaat besar kepada generasi akan datang.