Oleh: Robe’ah Yusuf
TANJONG MALIM, 13 OGOS 2026 – Teknologi Motion Augmented Reality (MAR) membuka lembaran baharu dalam dunia pendidikan apabila warga pendidik, staf akademik dan pelajar berpeluang meneroka potensi teknologi imersif menerusi “Bengkel Pembinaan Buku Cerita Berasaskan Motion Augmented Reality (MAR)” anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlangsung pada 11 hingga 13 Ogos lalu.
Bukan sekadar membina sebuah buku cerita, bengkel ini menjadi ruang untuk menghidupkan imaginasi, menyatukan kreativiti dan teknologi serta mengubah helaian cerita menjadi pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan bermakna.
Melalui MAR, dunia pendidikan tidak lagi sekadar dibaca dan dilihat tetapi turut dapat diteroka, dirasai dan dihayati dengan cara yang lebih menarik.
Bengkel di bawah Program Pemindahan Ilmu (KTP) ini turut membimbing peserta menghasilkan buku cerita interaktif bermula daripada pembinaan jalan cerita, penulisan prompt, penjanaan ilustrasi dan animasi sehingga penerapan elemen augmented reality (AR).
Peserta turut diperkenalkan kepada platform seperti Grok dan Artivive bagi mengubah ilustrasi pegun kepada animasi yang boleh diakses melalui telefon pintar, sekali gus menjadikan bahan bacaan dan pengajaran lebih menarik serta interaktif.
Menariknya, peserta dibimbing secara satu persatu sepanjang bengkel berlangsung. Penggunaan prompt turut diterangkan dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami, selain peserta diajar memilih warna yang sesuai serta menentukan jenis gambar yang menepati tema cerita.
Para peserta amat berpuas hati dengan pendekatan bengkel yang bersifat praktikal dan mesra peserta. Peserta sentiasa dibantu oleh para pemudahcara dengan memberikan bimbingan, meyakinkan serta mendorong peserta untuk menghasilkan buku yang baik, kreatif dan menarik.

Bengkel ini dikendalikan oleh pensyarah Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK), Dr Syuhada Mat Sin selaku pakar bidang dan berkongsi kepakaran dalam pembinaan cerita, penghasilan prompt kecerdasan buatan, ilustrasi, animasi dan AR.
Menurut Dr Ariza Abdullah, program berkenaan merupakan kesinambungan daripada geran penyelidikan dan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan ilmu serta kemahiran yang diperoleh dapat diperluaskan kepada lebih ramai pendidik. Beliau berkata, teknologi MAR berpotensi dimanfaatkan dalam pembelajaran bahasa, pendidikan awal kanak-kanak serta pengajaran murid yang memerlukan rangsangan visual dan bahan pembelajaran interaktif.
“Harapan kami adalah supaya teknologi ini tidak kekal sebagai inovasi di universiti sahaja, tetapi benar-benar sampai kepada guru, murid dan masyarakat serta dimanfaatkan dalam situasi pengajaran sebenar,” katanya. Program ini turut membuka ruang kolaborasi bersama Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) khususnya dalam pembangunan buku cerita seperti Dani dan Dina yang mendapat sokongan FBK dan Akademi Bahasa Antarabangsa (AKAR).
Inisiatif ini membuktikan usaha UPSI dalam memperluaskan kepakaran dan hasil penyelidikan universiti agar dapat dimanfaatkan secara langsung oleh pendidik, murid dan masyarakat.

