oleh: Tan Lee Na
Tanjong Malim, 28 Julai — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan usaha memperkukuh jaringan kerjasama industri akademia apabila menerima kunjungan delegasi Tijarah Hatimurni Sdn. Bhd. ke Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) serta Akademi Bahasa Antarabangsa bagi membincangkan potensi kerjasama dalam pembangunan kurikulum, pendidikan digital dan latihan profesional guru.
Delegasi Hatimurni diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Siti Khadijah binti Mohni, manakala pihak UPSI diwakili oleh Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Mazura @ Mastura binti Muhammad, bersama Pengarah Akademi Bahasa Antarabangsa, Dr. Mazlin Mohamed Mokhtar, serta pasukan projek Bahasa Cina.
Hatimurni merupakan institusi pendidikan swasta yang menawarkan Pendidikan Islam serta menjadikan Bahasa Cina sebagai salah satu kursus nilai tambah dalam kurikulumnya.
Sejak tahun 2025, Hatimurni dan FBK UPSI telah bekerjasama dalam pembangunan buku teks Bahasa Cina Tahun Satu dan video pengajaran sebagai bahan sokongan pembelajaran. Kerjasama tersebut kini diteruskan melalui pembangunan bahan pengajaran Bahasa Cina Tahun Dua.

Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak turut meneroka peluang kerjasama lebih luas melibatkan pembangunan kurikulum Pendidikan Islam, inovasi pengajaran digital serta pendekatan pembelajaran teradun (blended learning) yang menggabungkan kaedah pembelajaran bersemuka dan dalam talian.
UPSI dan Hatimurni melihat pendigitalan pendidikan serta inovasi kurikulum sebagai elemen penting dalam memenuhi keperluan pendidikan masa kini. Gabungan kepakaran akademik UPSI dalam pendidikan dan pengalaman Hatimurni dalam pengurusan pendidikan sekolah dijangka mampu menghasilkan sumber pembelajaran yang lebih berkualiti dan relevan.
Kedua-dua pihak turut merancang untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam masa terdekat bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pembangunan kurikulum, latihan guru, pembangunan bahan pengajaran serta pelaksanaan projek inovasi pendidikan.
Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen UPSI dan Hatimurni dalam memperkasa transformasi pendidikan serta menyumbang kepada pembangunan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

