Tempat keempat telah memenangi oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris Tempat keempat telah memenangi oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris

Tanjong Malim, 23 Mei 2026 – Naadaga Chudar 2026 merupakan sebuah pertandingan teater pentas peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Tamil. Pertandingan ini telah dianjurkan dengan penuh cemerlang di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sejak sebelum penularan pandemik COVID-19.

Berteraskan karya-karya kesusasteraan Tamil, para peserta telah menghasilkan pementasan teater dengan mengolah jalan cerita yang kreatif serta menampilkan nilai-nilai sastera yang bermutu.

Walau bagaimanapun, penganjuran pertandingan ini telah terhenti selepas pandemik COVID-19 berikutan beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan. Setelah beberapa tahun, usaha untuk menghidupkan semula pertandingan ini akhirnya berjaya direalisasikan. Susulan kejayaan penganjurannya pada tahun lalu, Naadaga Chudar 2026 sekali lagi berjaya dilaksanakan dengan penuh gemilang pada tahun ini.

Pertandingan tersebut telah berlangsung di Panggung Persubaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Bagi edisi tahun 2026, jawatan Pengarah Program telah dipikul oleh Vanitha Nagarajan, pelajar Semester 6 dari Jabatan Bahasa Tamil, yang telah menerajui keseluruhan penganjuran program dengan penuh komitmen dan dedikasi.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Sivanesan A/L Achalingam Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India Dan Intergrasi Nasional selaku tetamu kehormat. Beliau telah menyempurnakan majlis perasmian dan secara rasmi melancarkan Naadaga Chudar 2026.

Pertandingan ini telah disertai oleh pelajar daripada empat buah universiti, melibatkan penyertaan sebanyak lapan kumpulan yang mempertandingkan pementasan teater masing-masing. Persembahan bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir sekitar 3.00 petang, sebelum diteruskan dengan majlis rasmi program.

Secara keseluruhannya, Naadaga Chudar 2026 telah menghimpunkan kira-kira 150 orang ahli jawatankuasa, 80 orang peserta, serta lebih daripada 50 orang penonton. Penganjuran pertandingan ini bukan sahaja berjaya menghidupkan semula sebuah platform seni yang berprestij, malah turut memperkukuhkan usaha memartabatkan seni teater dan kesusasteraan Tamil dalam kalangan mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

“Pementasan yang kita saksikan hari ini sungguh luar biasa dan membanggakan. Saya dapat melihat dengan jelas betapa para pelajar kita bukan sahaja berbakat besar dalam seni lakonan, malah mereka berjaya menonjolkan kemahiran insaniah yang tinggi. Melalui drama ini, mereka memperlihatkan keyakinan diri, kekuatan komunikasi, daya kreativiti yang kritis, serta semangat kerjasama pasukan yang tinggi.

“Saya berharap inisiatif murni ini akan diteruskan dan menjadi penanda aras kepada program-program kebudayaan pada masa hadapan. Teruskan usaha memartabatkan bahasa dan sastera kita di persada yang lebih tinggi. 3. Saya komited untuk menyalurkan sokongan  sepenuhnya demi memastikan pertandingan Naadaga Chudar terus dilaksanakan dengan jayanya pada tahun-tahun akan datang,” ujar Dato’ Sivanesan A/L Achalingam.

Majlis pelancaran Perasmian Gimik
Pemberian cenderahati kepada juri
Persembahan bharatam dilaksanakan oleh pelajar UPSI.

Naadaga Chudar merupakan sebuah platform yang sepenuhnya mengetengahkan bakat seni mahasiswa di samping menyemarakkan minat mereka terhadap kesusasteraan Tamil. Pertandingan teater pentas ini bukan sahaja menjadi wadah untuk mengasah kreativiti, malah turut memupuk pemikiran kritis, daya imaginasi serta kemahiran bekerja secara berpasukan dalam kalangan peserta.

Selain itu, penyertaan mahasiswa daripada pelbagai universiti menjadikan program ini sebagai medium yang berkesan dalam memperkukuh hubungan silaturahim, menggalakkan pertukaran idea, serta memupuk semangat perpaduan dan kerjasama antara mahasiswa institusi pengajian tinggi.

Semua pasukan yang menyertai Pertandingan Naadaga Chudar 2026 telah mempersembahkan pementasan masing-masing dengan penuh komitmen, kreativiti dan kualiti artistik yang membanggakan. Sebagai tanda penghargaan atas penyertaan dan usaha yang telah ditunjukkan, semua peserta telah dianugerahkan sijil penyertaan.

Dalam pertandingan tersebut, pasukan Aranga Villugal dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun telah dinobatkan sebagai johan sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000. Tempat kedua pula disandang oleh pasukan Vedhikkanal, yang turut mewakili IPG Kampus Tuanku Bainun, dengan hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.

Sementara itu, pasukan dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh berjaya meraih tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,000. Pasukan Vinmeen Kathirgal yang mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula menduduki tempat keempat dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500.

Pasukan UniSZA Ilaiyarangam dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melengkapkan senarai pemenang dengan menduduki tempat kelima serta membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500. Selain penyampaian hadiah bagi kategori utama, penganjur turut menyampaikan Anugerah Cerita Terbaik dan Anugerah Pelakon Terbaik sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dalam aspek penulisan skrip dan lakonan.

Kishen Subramaniam telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelakon Terbaik, manakala Anugerah Cerita Terbaik telah dimenangi oleh pasukan UniSZA Ilaiyarangam. Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen dan keupayaan para peserta dalam menghasilkan pementasan yang bukan sahaja berkualiti tinggi, malah berjaya menyerlahkan nilai estetika, kreativiti dan penghayatan seni teater.

Secara keseluruhannya, penganjuran Naadaga Chudar 2026 telah berlangsung dengan jayanya serta mencapai matlamatnya dalam menyediakan platform kepada mahasiswa untuk mengetengahkan bakat seni, kreativiti dan penghayatan terhadap kesusasteraan Tamil.

Program ini bukan sahaja berjaya memperkukuh semangat kerjasama dan hubungan antara mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi, malah turut menyumbang kepada usaha memartabatkan seni teater Tamil sebagai medium yang berkesan dalam pembangunan sahsiah dan intelektual generasi muda. Diharapkan agar Nadaga Chudar akan terus menjadi acara berprestij yang dapat diteruskan dan diperkasakan pada tahun-tahun akan datang.