Oleh: Muhammad Ahlami Rabaie
BANDA HILIR, MELAKA – Program Diaspora Inspirasi Jelajah Alam Varsiti UPSI 2026 (DIJAVU’26) inisiatif murni Persatuan Bahasa Melayu Sidang 2025/2026 UPSI (PERBAYU) telah berlangsung di Dewan Optimis, SMK Tinggi Melaka bermula tepat jam 9 pagi yang telah dirasmikan oleh Tuan Haji Johan bin Othman, Pengetua SMK Tinggi Melaka.
Program ini merupakan jalinan kerjasama strategik PERBAYU UPSI bersama-sama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM), Pusat Tingkatan Enam SMK Tinggi Melaka, Ikatan Mahasiswa Anak Melaka UPSI (IMAM), Perkumpulan Anak-anak Melaka Universiti Sains Malaysia (PURNAMA) dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok (JPKK UMK).
Mengangkat slogan “Melakar Aspirasi, Menyubur Insan Harmonis”, program ini mengetengahkan pengisian dua slot utama yang berfokus kepada persediaan pembangunan akademik dan sahsiah bakal mahasiswa-mahasiswi universiti. Slot pertama menampilkan Forum Bicara Siswa Madani: Diversiti Kehidupan Kampus – Akademik, Persahabatan atau Aktif Berpersatuan? yang membincangkan realiti kehidupan mahasiswa dari pelbagai sudut.
Para panel berkongsi pengalaman berkaitan pengurusan akademik, pembinaan jaringan persahabatan, penglibatan dalam persatuan serta kepentingan pembangunan kemahiran insaniah sepanjang berada di universiti. Forum ini dilihat realistik dalam kalangan pelajar tingkatan enam kerana mereka semestinya harus didedahkan dengan senario kehidupan kampus yang rencam dan mencabar.
Di sebalik keseronokan dan kebebasan, bakal mahasiswa seharusnya bersedia dari segi mental dan fizikal bagi mendepani cabaran akademik dan kegiatan luar dewan kuliah yang tidak menentu.

Slot 1: Forum Bicara Siswa Madani: Diversiti Kehidupan Kampus
Selain daripada Forum Bicara Siswa Madani, program ini turut dipenuhi dengan pengisian slot Perkongsian Interaktif Persediaan Menghadiri Temu Duga Selangkah ke Alam Varsiti. Sesi perkongsian ini memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang teknik menghadapi situasi sesi temu duga kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan jendela kerjaya. Secara amnya, perkongsian tersebut merangkumi aspek penampilan diri, komunikasi berkesan, etika profesional serta strategi menjawab soalan temu duga dengan yakin dan tersusun.
Sesi perkongsian ini dibahagikan kepada tiga aktiviti utama iaitu yang pertama dikenali sebagai “Me, Myself & I: Kenali Diri, Serlahkan Potensi” yang menekankan latihan memperkenalkan diri secara tersusun dan profesional. Sesi pengenalan diri yang sering dianggap remeh sebenarnya amat penting dan memerlukan susunan urutan yang sempurna bagi memastikan tanggapan pertama terhadap calon dilihat positif. Sesi perkongsian ini juga diteruskan dengan aktiviti “Melangkah ke Jendela: Berani Menghadapi Temu Duga”. Aktiviti ini dirangka dengan 12 cadangan soalan temu duga terkini yang sering diajukan kepada calon dalam sesi temu duga. Soalan-soalan ini bersifat multidimensi yang merangkumi pelbagai bidang permohonan. Calon juga dibekalkan dengan 1 soalan yang ditanyakan dan harus dijawab dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Sesi perkongsian interaktif ini diakhiri dengan aktiviti demonstrasi yang dikenali sebagai “Would Your Hire? Dari Perspektif Majikan”. Aktiviti ini memerlukan setiap pelajar menentukan sama ada jawapan soalan temu duga yang dijawab oleh calon lakonan itu berkualiti dan boleh diterima atau sebaliknya. Pelajar diberi peluang untuk berbincang bersama rakan kumpulan masing-masing bagi memastikan setiap pilihan bersifat rasional dan disokong oleh justifikasi.

Slot 2: Perkongsian Interaktif Persediaan Menghadiri Temu Duga
Selangkah ke Alam Varsiti
Program ini turut menyokong usaha merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG) khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan, SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh, serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat. Melalui pelaksanaan forum dan sesi perkongsian interaktif, para peserta berpeluang memperoleh maklumat yang tepat berkaitan laluan pendidikan tinggi, pembangunan sahsiah serta persediaan menghadapi cabaran sebagai mahasiswa.
Program ini juga membuka ruang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk mengakses ilmu dan pengalaman yang mungkin sukar diperoleh secara langsung, sekali gus membantu merapatkan jurang maklumat serta peluang pendidikan. Kerjasama erat antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pihak sekolah dan pelbagai organisasi yang terlibat membuktikan kepentingan jaringan strategik dalam memperkasakan pembangunan modal insan. Usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada pembentukan komuniti yang berilmu, progresif dan inklusif, malah turut melahirkan generasi muda yang lebih bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara pada masa hadapan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta menunjukkan komitmen dan penglibatan yang sangat memberangsangkan melalui sesi soal jawab serta perbincangan interaktif bersama panel jemputan. Maklum balas yang diterima mendapati program ini berjaya meningkatkan motivasi pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di samping memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai cabaran dan peluang yang bakal dihadapi di alam universiti.

Sesi Fotografi Bersama Ahli Jawatankuasa Diaspora Inspirasi Jelajah Alam Varsiti UPSI 2026 (DIJAVU’26)
Secara keseluruhannya, DIJAVU’26 telah mencapai objektif yang ditetapkan dengan jayanya melalui penyampaian maklumat yang bermanfaat, perkongsian pengalaman yang relevan dan pengukuhan hubungan antara UPSI, USM dan UMK dengan komuniti sekolah. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan generasi pelajar yang lebih berpengetahuan, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran pendidikan tinggi serta dunia kerjaya.
